KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang agar menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang.
Baginda bertitah, saban tahun pembaziran makanan sering berlaku menjelang Ramadan dengan 90,000 tan makanan dibazirkan serta dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada 2023 dan angka itu meningkat menjelang Hari Raya.
"Ingatlah, setiap sen yang dibelanjakan secara berlebihan dan setiap juadah yang dibazirkan itu bukan cerminan Islam yang sebenar," titah baginda menerusi kenyataan yang dikongsi di Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum, Pekan, yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, pada Isnin.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.
"Jadilah pemandu yang berhemah dan tidak mementingkan diri. Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan yang tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan.
"Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati-hatilah dalam bergaya, utamakan keselamatan, dan hargailah keluarga serta insan tersayang. Kerana itulah sebenar-benar makna Hari Raya," titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 penerima, termasuk golongan asnaf, institusi masjid, pusat pengajian, dan saudara baharu.
Titah baginda, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya mereka yang memerlukan, serta memberi sokongan dalam meneruskan kehidupan.
Baginda turut mengingatkan tentang kewajipan membayar zakat fitrah yang sering dipandang ringan.
"Ia bukan sekadar rukun Islam, tetapi lambang keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius.
"Saya menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah menyucikan jiwa dan melengkapi amalan Ramadan.
"Semoga zakat yang ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata," titah baginda.