JOHOR BAHRU - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) 1 SJK (C), mengakui sudah hilang 'mood' untuk berhari raya susulan keadaan banjir yang berlaku di kawasan kediamannya di Kampung Sepakat Baru, Skudai sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Sinar Harian ke PPS berkenaan mendapati rata-rata penduduk yang ditempatkan di PPS berkenaan hanya menunggu masa untuk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Bagi seorang penduduk, Milan Hamadi, 38, dia memang langsung tidak terfikir mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.
Malah katanya, apa yang lebih penting difikirkannya ketika ini adalah bagaimana untuk membersihkan semula rumahnya yang dinaiki air sejak beberapa hari lalu.
"Masa banjir ni memang dah tak fikir apa dah, sebab ada baju raya, buku pelajaran anak semua rosak
"Pasal apa? Persiapan raya semua dah tak ada. Peralatan anak-anak sekolah semua dah tak ada. Rosak dihanyutkan air banjir.
"Selain itu, semua perabot, kenderaan juga sebuah motosikal rosak kerja di naiki air," katanya.
Bagi Saniah M Shukri, 64, dia berharap agar banjir berkenaan tidak lagi berlarutan kerana tidak mahu berhari raya di PPS berkenaan.
Katanya, cuaca pun kelihatan bertambah baik dan menambahkan lagi keyakinannya untuk pulang ke rumah bagi menyambut ketibaan 1 Syawal nanti.
"Pada 18 Mac lalu, air dah surut. Kami balik dah bersihkan rumah. Esoknya air naik mendadak semula. Tak sempat kami semua nak buat apa-apa, jadi terpaksa pindah semula ke pusat pemindahan ni sampailah ke hari ini.
"Tapi kalau boleh sampai janganlah berpanjangan sampai ke hari raya dan saya serta penduduk-penduduk kampung yang terlibat ni terpaksa beraya di sini.
"Kalau boleh biarlah dapat kita semua pulang ke rumah seperti sediakala. Cuaca pun nampak dah ok," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Kamisah Omar, 56, berkata, banjir kali ini terlalu teruk kerana air naik dengan cepat hingga nampak bumbung rumah sahaja.
Bagaimanapun katanya, dia sempat pulang ke rumahnya seketika, tetapi hanya untuk melihat barangan kelengkapan rumah seperti peti ais, mesin basuh apa semua, TV, kain baju tak ada yang boleh digunakan lagi sebab telah disaluti lumpur.
"Bagi saya banjir banjir kali ni terlalu teruk sampai nampak bumbung sahaja. Tapi saya bersyukur kerana berada di PPS ini kerana segala kelengkapan telah tersedia di sini.
"Selain tu banyak juga pihak berikan sumbangan seperti makanan barang-barang keperluan macam batal, tilam dan lain-lain," katanya.