MENERUSI Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan meletakkan Pembangunan Masyarakat Progresif sebagai satu daripada komponen penting inisiatif Anjakan Besar Pembudayaan Masyarakat Madani.
Justeru, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan Rukun Tetangga (RT) sebagai Penggerak Komuniti Progresif.
Ia melalui keberdayaan ekonomi, ketahanan, kebersamaan, pengupayaan dan daya kepimpinan komuniti, tadbir urus dan tatakelola yang cekap serta kerjasama strategik yang kondusif antara pelbagai pihak.
Sejak penubuhannya, kelestarian RT sebagai pemacu dalam komuniti kejiranan telah terbukti memberi impak yang signifikan dalam membantu usaha kerajaan membangunkan komuniti setempat mencakupi pelbagai aspek seperti pengukuhan semangat kejiranan, keselamatan, pembelajaran sepanjang hayat, ekonomi dan kesejahteraan hidup komuniti.
Bermula dengan konsep keselamatan pada tahun 1975, peranan RT telah ditransformasikan seiring dengan cabaran dan keperluan semasa masyarakat serta negara.
Pada tahun 1983, kerajaan telah memperkenalkan konsep kejiranan untuk menjadikan RT sebagai tapak integrasi dalam kehidupan bermasyarakat khususnya di kawasan-kawasan bandar dan perumahan.
Usaha ini penting kerana semangat kejiranan, perpaduan dan keharmonian dalam komuniti adalah merupakan tonggak kepada kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
Seterusnya pada tahun 2000, RT Alaf Baru telah diperkenalkan melalui konsep pembangunan komuniti yang memberi fokus kepada pengupayaan komuniti melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk berhadapan dengan perubahan gaya hidup dan isu-isu sosial semasa.
Selaras dengan penubuhan KPN pada 10 Mac 2020, Kementerian telah menyediakan gerak kerja yang memfokuskan kepada peranan RT supaya lebih jelas, komprehensif dan inklusif.
Empat gerak kerja komuniti tersebut ialah Gerak Kerja Komuniti Sejahtera, Gerak Kerja Komuniti Selamat, Gerak Kerja Komuniti Sihat dan Gerak Kerja Komuniti Bersih dan Indah.
Inisiatif ini bertujuan untuk mendukung hasrat kerajaan menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti.
Seterusnya pada tahun 2024 iaitu selaras dengan aspirasi Kajian Separuh Penggal RMKe-12 untuk membangun masyarakat progresif, maka Kementerian mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan RT sebagai Penggerak Komuniti Progresif.
Maka peranan RT sebagai penggerak, pengantara penting dan penjalin hubung (bridge builder) dalam masyarakat memerlukan lonjakan transformasi melalui landskap pembangunan yang dipacu oleh komuniti (community-driven development).
Sebanyak lapan bidang tumpuan yang telah ditetapkan untuk menjadikan Rukun Tetangga sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun komuniti progresif iaitu Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.
Inisiatif Rukun Tetangga Progresif merangkumi tiga (3) fasa pelaksanaan seperti berikut:
(a) Fasa 1 - Tahun 2024 (Jangka Masa Pendek)
Fasa pertama inisiatif pemerkasaan ini bermula pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2024. Oleh itu, Pelan Tindakan Pemerkasaan RT telah dibangunkan sebagai gerak kerja membangun komuniti progresif. Daripada 8,438 RT di seluruh negara, sekurang-kurangnya 116 RT diperkasakan sebagai Model RT Progresif.
(b) Fasa 2 - Tahun 2025 (Jangka Masa Sederhana)
Perluasan sekurang-kurangnya 500 RT yang akan diperkasakan atau dimodelkan sebagai RT Progresif.
(c) Fasa 3 - Tahun 2026 (Jangka Masa Panjang)
Cadangan agar Inisiatif Pemerkasaan RT diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan dilaksanakan secara berterusan.
Setiap negeri melalui Pejabat Perpaduan Daerah/Bahagian mengenalpasti RT-RT yang berpotensi untuk dimodelkan sebagai RT Progresif berdasarkan kriteria berikut:
(a) RT yang aktif, cemerlang dan berdaya saing.
(b)Menjalankan pelbagai projek/program/aktiviti/perkhidmatan
(c)Kepimpinan yang komited
(d)Penglibatan aktif komuniti
(e)Mempunyai pelbagai sumber dalam Kawasan (contoh: tanah, premis, kolam, modal insan, kepakaran terentu)
(f)Mempunyai projek ekonomi untuk didayaupayakan atau dimajukan melalui bantuan dari segi latihan, bimbingan, kewangan, premis, teknologi, peralatan dan lain-lain.
(g)Mempunyai cadangan atau perancangan projek ekonomi untuk dilaksanakan (contoh: pertanian (kebun komuniti, penternakan, kraftangan dan projek atau program berimpak tinggi kepada komuniti.
(h)Mempunyai jaringan kerjasama strategik yang kondusif dengan pelbagai pihak yang membantu RT dalam pelaksanaan projek/ program/aktiviti /perkhidmatan.
(i)Memanfaatkan penggunaan teknolog moden, inovasi dan kreativiti dalam Pembangunan komuniti setempat.
Pemetaan sosial adalah merupakan satu tindakan awal yang perlu dilaksanakan sebelum pemberdayaan komuniti RT dilaksanakan melalui analisis profiling yang disediakan. Pemetaan sosial yang dibuat akan memberi kefahaman mengenai:
(a) kondisi komuniti
(b) potensi sumber-sumber dalam kawasan
(c) keupayaan modal insan
(d) mengidentifikasi isu atau permasalahan yang dihadapi oleh komuniti
(e) keperluan projek atau aktiviti
(f) stakeholder, rakan strategik dan pihak berkepentingan
(g) cadangan tindakan pemberdayaan atau pemerkasaan
(h) jumlah anggaran peruntukan yang diperlukan
Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif merupakan suatu inisiatif dan komitmen Kementerian melalui JPNIN untuk memperkukuhkan lagi peranan RT sebagai jentera perpaduan di peringkat komuniti dalam pembangunan masyarakat progresif yang menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan inklusiviti, kemakmuran dan merintis jalan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik, sejahtera dan mampan untuk generasi akan datang selari dengan aspirasi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
Usaha ini direncanakan berdasarkan kepada Kerangka Pemerkasaan RT Penggerak Komuniti Progresif yang bersifat inklusif dan komprehensif.
Dengan keberdayaan ekonomi, kebersamaan komuniti, daya kepimpinan, keupayaan komuniti dan struktur pentadbiran yang kukuh serta kerjasama strategik yang kondusif dengan pelbagai pihak, RT akan dapat berperanan secara lebih efektif sebagai penggerak, pengantara dan penjalin hubung dalam komuniti untuk membangun masyarakat progresif.
***Datuk Aaron Ago Dagang ialah Menteri Perpaduan Negara