GEORGE TOWN - Dendam dipercayai motif seorang lelaki warga Myanmar maut diserang dan ditetak dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor dalam kejadian 7 Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan lanjut mendapati ia melibatkan dendam di antara mangsa dan keluarganya bersama individu lain termasuk yang menyerangnya.
Menurutnya, kejadian juga disebabkan perselisihan faham antara kumpulan penyerang dengan keluarga mangsa yang tinggal di negeri ini dan negara asalnya.
"Mangsa diserang kerana dendam antara mangsa dan keluarganya yang tinggal di Tasek Gelugor dan di negara asalnya.
"Sehingga kini, kita telah menahan lapan lelaki berusia lingkungan 30an hingga 40an yang terdiri daripada warga asing dan tempatan.
"Kesemua mereka ditahan dan diambil keterangan bagi membolehkan kita mengesan suspek utama," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Jelas beliau, polis sedang giat memburu suspek dan akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 3.20 pagi memaklumkan empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang menyerang seorang lelaki Myanmar, yang juga pekerja sebuah restoran nasi kandar.
Siasatan awal mendapati, empat lelaki itu memakai topi dan penutup muka, bersenjatakan parang serta menaiki sebuah kereta berwarna gelap.
Suspek kemudian turun dari kenderaan dan terus menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di restoran tersebut sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan sama.
Pegawai perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa yang berusia 38 tahun itu telah meninggal dunia akibat cedera parah.
Terdapat kesan tetakan pada bahagian lengan belakang tangan kanan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan mangsa.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HKB untuk bedah siasat.