KUANTAN - Keenakan cendol bukan hanya bergantung pada santan dan gula melaka, tetapi juga pemilihan bahan berkualiti serta cara penyediaannya.
Itulah yang menjadikan cendol buatan Ramlee Maulud, 56, dan isterinya, Norhayati Masrun, 57, di Kampung Padang di sini, mendapat permintaan tinggi terutama sepanjang Ramadan.
Ramlee berkata, setiap kali bulan puasa, permintaan meningkat mendadak hingga mereka terpaksa menggandakan pengeluaran dengan menggunakan hampir 20 kampit tepung beras bagi memastikan bekalan mencukupi.
"Masuk saja Ramadan, telefon dah mula berdering. Ada pelanggan siap buat tempahan awal sebab takut tidak sempat beli.
"Pernah juga kami langsung tak sempat duduk, cendol habis dalam masa kurang dua jam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Padang pada Isnin.
Bapa kepada dua anak itu berkata, keistimewaan cendolnya terletak pada penggunaan bahan segar yang dibuat sendiri oleh isterinya.
"Isteri saya belajar buat cendol dari arwah mak dia sejak zaman anak dara lagi. Tak sangka, bila dah lama-lama kami teruskan buat cendol ini untuk dijual.
"Resipi turun-temurun inilah yang membuatkan rasanya kekal sama, tak berubah," katanya.
Menurutnya, mereka mengamalkan konsep penyediaan secara pukal bagi memastikan proses jualan berjalan lancar tanpa perlu membuat cendol setiap hari.
"Kami buat dalam kuantiti besar untuk stok seminggu supaya pekerja boleh fokus kepada jualan di bazar. Kalau ada tempahan luar, lagi banyaklah kami perlu buat," katanya.
Selain berniaga di bazar Ramadan, katanya, mereka juga menerima tempahan untuk majlis berbuka puasa dan rumah terbuka sepanjang Syawal.
Ujar Ramlee, tahun lalu sahaja, mereka mencatat jualan sekitar RM30,000 sepanjang Syawal.
"Tahun ini, awal-awal lagi kami dah terima tiga tempahan berbuka puasa, sebelum ini, tempahan seperti itu hanya masuk hujung Ramadan, tapi sekarang makin awal," katanya.
Walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran jualan, Ramlee bersyukur kerana perniagaannya semakin dikenali dan mendapat sambutan luar biasa setiap tahun.
"Kami memang tak letak target tapi, tapi saban tahun jualan makin meningkat. Ini semua hasil daripada pelanggan yang bercerita dari mulut ke mulut. Saya takut tahun ini tak menang tangan," katanya.
Pelanggan, Hanif Abbas, 43, berkata, keenakan rasa santan dan manis gula melaka menjadikan minuman ini pilihan ideal untuk berbuka puasa terutama apabila dinikmati sejuk.
"Saya setiap tahun saya akan beli banyak dan simpan dalam bekas tahan sejuk untuk sedekah pada rakan pejabat.
"Mereka memang peminat cendol, terutama cendol Ramlee, tapi sebab tempat ini jauh sikit, mereka selalu kirim pada saya, dan saya tolong hantarkan. Hari ini pun sama, mereka kirim, saya hantar," katanya.