Gaza berdarah: OIC, Liga Arab tidak boleh terus membisu

Iklan
Serangan udara Israel terus mengorbankan rakyat Palestin, dengan jumlah kematian di Gaza kini melebihi 50,000 sejak Oktober 2023. Foto Agensi

KEGANASAN dan serangan kejam Israel ke atas Semenanjung Gaza dijangka menyebabkan ribuan lagi nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutama kanak-kanak dan wanita, melayang begitu sahaja.

Terkini, lebih 130 lagi terbunuh, menjadikan jumlah korban sejak Oktober lalu mencecah 49,747 orang, dengan lebih 113,000 lagi cedera, di saat dunia seolah-olah menjadi saksi bisu kepada tragedi berdarah ini.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, dalam situasi genting ini, negara-negara Islam, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab, tidak boleh terus berdiam diri.

Mereka perlu segera duduk semeja bagi merumuskan tindakan lebih tegas terhadap Israel.

Iklan

Malaysia, sebagai Pengerusi negara-negara anggota ASEAN, wajar memainkan peranan proaktif untuk mendesak tindakan kolektif bagi membela rakyat Palestin.

Sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, Malaysia mempunyai pengaruh besar dalam blok ASEAN.

Iklan

Oleh itu, langkah pertama yang wajar diambil adalah mendesak OIC mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan langkah drastik menangani kezaliman Israel.

Sidang ini bukan sekadar medan untuk menyatakan kecaman, tetapi harus merangka tindakan konkrit seperti tekanan diplomatik lebih tegas, pemutusan hubungan perdagangan dengan Israel serta menyalurkan bantuan segera kepada Gaza.

Malaysia juga boleh memanfaatkan hubungan baiknya dengan negara-negara Islam untuk mempercepatkan langkah ini.

Dalam sidang tersebut, Malaysia boleh mengusulkan resolusi mengutuk serangan Israel, mendesak gencatan senjata segera, dan menuntut pengiktirafan hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Selain diplomasi, Malaysia juga boleh menggerakkan boikot ekonomi terhadap produk berkaitan Israel. Gerakan ini bukan perkara baharu, tetapi jika dilaksanakan secara menyeluruh oleh negara-negara Islam, langkah ini boleh memberi tekanan besar terhadap ekonomi Israel yang bergantung kepada pasaran luar.

Di peringkat ASEAN, Malaysia boleh mencadangkan dasar bersama untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat-syarikat yang secara langsung menyokong Israel. Ini bukan sekadar simbolik, tetapi tindakan nyata bagi melemahkan ekonomi rejim Zionis.

Selain tekanan diplomatik dan ekonomi, Malaysia boleh mengetuai inisiatif kemanusiaan ASEAN bagi membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan penderitaan akibat serangan berterusan.

Melalui kerjasama dengan organisasi antarabangsa, ASEAN boleh menghantar bantuan berupa makanan, perubatan, dan keperluan asas kepada rakyat Gaza.

Malaysia, dengan pengalaman luas dalam misi kemanusiaan, boleh memainkan peranan utama dalam memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan.

Malaysia juga boleh mencadangkan mekanisme penghantaran bantuan yang lebih berkesan dengan kerjasama negara-negara jiran dan badan antarabangsa bagi memastikan bantuan tidak dihalang oleh sekatan Israel.

Kesimpulannya, krisis di Gaza bukan sekadar isu serantau, tetapi masalah global yang menuntut tindakan segera.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, harus menggerakkan tekanan terhadap OIC dan Liga Arab untuk bersatu dalam menghadapi kezaliman Israel.

Diplomasi tegas, boikot ekonomi serta bantuan kemanusiaan adalah tiga langkah utama yang boleh digerakkan bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Dunia tidak boleh terus berdiam diri, dan Malaysia harus berada di barisan hadapan dalam perjuangan ini.