Noktahkan budaya gelap buli sebelum melarat

Iklan
Gambar hiasan.

ANAK-anak merupakan generasi baharu yang akan membawa perubahan masa depan cerah kepada negara suatu hari nanti.

Sama ada akademik atau bidang kerjaya diceburi, ibu bapa pasti inginkan anaknya mendapat pencapaian terbaik dalam hidup.

Iklan
Iklan

Namun, terdapat banyak faktor mendorong kepada pemikiran dan tingkah laku mereka sepanjang proses tumbesaran.

Antara punca utama ialah pengaruh rakan sebaya. Ia boleh bersifat positif seperti mendorong seseorang untuk menjadi lebih berdisiplin, atau sebaliknya boleh mempengaruhi seseorang untuk terlibat dalam aktiviti tidak sihat termasuk gejala buli.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 62 pelajar menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, semua pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu telah dipaksa melakukan tekan tubi sehingga 200 kali.

Iklan

Menurutnya, perkara itu terbongkar selepas polis menerima laporan pertama daripada salah seorang pelajar yang memberitahu mangsa mengalami bengkak tangan dan sakit otot.

Perbuatan buli telah berlaku sejak dahulu lagi. Malah mungkin ada yang mendakwa kegiatan tersebut sudah menjadi budaya dalam sekolah berkenaan.

Buli sama ada dari segi perbuatan atau percakapan boleh memberi kesan mendalam kepada mangsa sama ada dari segi emosi, mental, fizikal, sosial atau akademik.

Dalam kes tersebut, ia boleh menyebabkan keletihan dan kecederaan otot. Mungkin kesan sebegitu tidak begitu teruk dan dianggap satu rutin biasa untuk melatih badan dan kesihatan fizikal.

Namun, jika ia dibiarkan begitu sahaja ia boleh mendorong kepada kesan jangka panjang termasuk trauma atau Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD).

Selain itu, sesetengah mangsa membesar dengan kemarahan dan membuli orang lain sebagai mekanisme pertahanan.

Kesan yang lain adalah dari segi kesukaran dalam menjalin hubungan iaitu mangsa rasa takut dikhianati atau dipermainkan sehingga menghadapi masalah dalam hubungan peribadi dan profesional.

Adakah perlu tunggu sehingga kes seperti Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros berulang lagi?

Buli boleh berlaku di mana-mana bukan sahaja di sekolah tetapi juga wujud di dunia kerjaya, media sosial atau hubungan peribadi.

Oleh sebab itu, peranan kerajaan dan institusi pendidikan penting dalam menangani isu berkenaan supaya dapat mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Dewan Negara pada 16 Disember lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 bagi menangani isu buli. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, pindaan itu antara lain terpakai dalam kes menyebabkan mangsa terganggu, distress, ketakutan atau kebimbangan.

RUU itu mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain.

Dengan adanya peruntukan khas tersebut, masyarakat akan lebih sedar bahawa buli bukan sekadar kesalahan moral semata-mata, tetapi juga satu kesalahan jenayah.

Ini boleh menjadi pencegahan bagi individu yang cenderung membuli kerana mereka tahu bahawa tindakan mereka boleh dikenakan hukuman.

Usaha tersebut membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih cepat terhadap pembuli termasuk di platform media sosial.

Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak boleh berhenti sekadar itu sahaja, ia perlu dilakukan secara berterusan.

Budaya sisi gelap seperti buli ini perlu dinoktahkan sebelum ia menular menjadi sukar dibendung.

*Mukhriz Mat Husin ialah wartawan meja am di Sinar Harian