Beberapa kali dikejar gajah, kali ini tewas - Anggota Perhilitan

Iklan
Mohd Doral (tengah) dan isteri menerima kunjungan daripada Mohamad Hafid (kanan) di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. FOTO: SINAR HARIAN

KUALA KRAI - Anggota Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang parah akibat dirodok gading gajah pada Khamis lalu pernah beberapa kali dikejar hidupan liar tersebut namun kali ini tewas.

Mohd Doral Ibrahim, 40, berkata, sepanjang bertugas sebagai anggota Perhilitan, dia sudah lali bertembung dengan 'Awang Besar'.

Iklan
Iklan

"Pada hari kejadian sekitar jam 1 tengah hari saya bersama tiga lagi rakan telah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung seorang penoreh cedera diserang gajah di Kampung Laloh.

Mohd Doral telah bertembung dengan gajah berusia 25 tahun itu dan menyebabkan dia dirodok gading hidupan liar tersebut di bahagian paha kanan.

Iklan

Ujarnya, kejadian itu berlaku terlalu pantas, mujurlah salah seorang daripada anggota telah melepaskan tembakan pelali dan gajah tersebut melarikan diri.

"Saya terpaksa menahan kesakitan sebelum dimasukkan ke zon kuning kemudian melalui pembedahan pada Jumaat malam selama dua jam.

Iklan

"Alhamdulillah doktor memaklumkan saya mungkin dibenarkan pulang dua hari lagi," katanya yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda.

Mohd Doral ditemani isterinya, Nur Ain Fatimah Arifin, 32, sepanjang menerima rawatan di hospital.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang anggota Perhilitan dan penoreh getah cedera parah apabila seekor gajah 'naik minyak' di Kampung Laloh.

Anggota Perhilitan terbabit dipercayai ditusuk dengan gading manakala penoreh yang merupakan seorang warga emas pula diserang dari belakang.