Penduduk Cina, India bantu hidupkan tradisi pelita panjut

Iklan
Penduduk Medan Klebang Pertama, Ipoh menterjemahkan perpaduan antara kaum melalui tradisi menyalakan pelita panjut di sekitar kawasan taman perumahan.

IPOH - Semangat perpaduan antara kaum diterjemahkan oleh penduduk Medan Klebang Pertama di sini melalui tradisi menyalakan pelita panjut di sekitar kawasan taman perumahan.

Meskipun lazimnya, pelita panjut sinonim dengan budaya masyarakat Melayu ketika minggu terakhir malam Ramadan, komuniti Cina dan India di kawasan itu sanggup turun padang membuat persiapan.

Dekorasi 'Salam Aidilfitri' menggunakan pelita panjut menghiasi kawasan Medan Klebang Pertama.

Iklan
Iklan

Mereka masing-masing tidak kekok bersingsing lengan bergotong-royong mencari buluh, membeli bekas pelita dan melakukan hiasan untuk memastikan kemeriahan cahaya panjut dirasai penduduk.

Krish Kirbagaren

Krish Kirbagaren, 30, yang pertama kali merasai pengalaman itu berbangga kerana dapat menyumbang tenaga menyediakan keperluan buluh untuk dijadikan panjut buluh.

Iklan

"Mula-mula tu ragu juga, boleh ke saya buat ni, tetapi bila dah tengok hasilnya, rasa puas hati sangat.

"Saya ingat tahun depan kena buat lagi," katanya.

Iklan

Menurutnya, budaya pemasangan pelita panjut itu mendekatkan hubungan antara kejiranan, sekali gus membuktikan bahawa kerjasama dan perpaduan antara kaum masih utuh.

"Kami dah macam satu keluarga besar yang sama-sama memeriahkan malam Ramadan," katanya.

Inisiatif tersebut digerakkan Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama dengan pemasangan lebih 500 pelita panjut termasuk menggunakan 40 batang buluh membabitkan laluan sepanjang 30 meter.

Elaine Phan dan suami, Liew Kin Kong gembira dikelilingi komuniti yang mementingkan hubungan baik antara kaum.

Bagi Elaine Phan, 45, yang baru berpindah ke taman perumahan itu sejak setahun lalu berkata, mereka sekeluarga teruja apabila laluan-laluan perumahan diterangi cahaya panjut.

Katanya, situasi itu jauh berbeza dengan suasana sambutan Tahun Baharu Cina yang mereka raikan.

"Saya dan suami sangat senang dikelilingi komuniti yang mementingkan hubungan baik antara kaum. Kami juga aktif ikuti program-program komuniti yang dianjurkan persatuan taman ini," katanya.

Muhammad Khalish Nantha ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama, Muhammad Khalish Nantha Rajendran berkata, perumahan itu baru sahaja dibuka tiga tahun lalu dengan jumlah penduduk sekitar 500 orang.

Ujar beliau, matlamat penganjuran pesta panjut yang kali pertama diadakan itu bagi mengembalikan nostalgia kemeriahan malam tujuh likur yang biasanya dirasai di kawasan kampung tradisi.

Dhia Humaira Mohammad Farid, 14, (kanan) bersama dua rakannya Nurfarah Aqilah Nazri, 17, dan Nuramirah Nazri, 15, membantu menyalakan pelita panjut di kawasan perumahan mereka.

"Perkara ini memang dirancang awal dan sejak tiga minggu lalu, kami lakukan persiapan.

"Saya terharu dan tak sangka, semua penduduk tanpa kira bangsa dan peringkat usia bersatu hati mahu menjayakannya," katanya.