ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 6.7 juta batang rokok tidak berkastam yang disorok dalam sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, sitaan itu dianggarkan bernilai RM6.22 juta hasil operasi yang dijalankan terhadap kontena berukuran 12 meter.
"Hasil pemeriksaan menemukan 6.7 juta batang rokok putih pelbagai jenama serta 444 papan lapis (plywood) jenama The Camel.
"Siasatan mendapati dagangan berkenaan hanya diikrarkan menerusi Borang Kastam 6, sedangkan papan lapis tersebut memerlukan Permit Import yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
"Dalam kes ini, kedua-dua dagangan terbabit tidak mempunyai permit import," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, anggaran nilai papan lapis yang disita adalah RM22,200 dengan cukai atau duti sebanyak RM7,700, manakala nilai rokok putih tidak bercukai adalah RM1.6 juta dengan cukai atau duti berjumlah RM4.5 juta.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai dan duti sitaan adalah RM6.22 juta.
Tambah beliau, kes tersebut masih dalam siasatan dan modus operandi sindiket berkenaan adalah membuat pengikraran tidak benar untuk menyeludup barang larangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu membuat perakuan tidak benar. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
"Mereka boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat. Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dilindungi," katanya.