KLANG - Penggunaan tayar mengikut spesifikasi dan sistem kedudukan sejagat (GPS) serta penyelenggaraan sistem brek menjadi fokus utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa pemeriksaan bas di musim perayaan Aidilfitri.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan itu diambil Bahagian Penguatkuasa dan Kejuruteraan Automotif bagi pemeriksaan aspek teknikal kenderaan perkhidmatan awam iaitu bas yang telah dilaksanakan di terminal dan juga depoh bas di seluruh negeri ini.
Katanya, pra operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) itu dilaksanakan bermula 17 hingga 23 Mac di Depoh Sani Express di Klang dan Depoh Konsortium Transnasional Berhad di Seksyen 16, Shah Alam.
"Aktiviti pemeriksaan bas di terminal dan depoh ini memberi fokus dan penekanan perihal aspek keselamatan kenderaan serta komponen-komponen utama kenderaan yang perlu diselenggara termasuklah penggunaan tayar mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan serta ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 2.5 milimeter (mm).
"Selain itu, perlu dipastikan sistem brek bas, pintu kecemasan serta aspek keselamatan seperti pencahayaan, lampu-lampu wajib, cermin dan pemantul cahaya (reflector) adalah berfungsi dan diselenggara dengan baik.
"Kit peralatan kecemasan juga perlu ada pada setiap bas di samping penggunaan GPS bertujuan pemantauan pemanduan di atas jalan raya," katanya dalam sidang akhbar di Depoh Sani Express di sini pada Jumaat.
Azrin berkata, setakat Jumaat, pihaknya telah memeriksa lebih 30 buah bas di depoh-depoh yang terlibat dan slip pemeriksaan akan dikeluarkan bagi kenderaan yang mematuhi standard dan piawaian.
Jelasnya, bagi bas yang mematuhi spesifikasi ditetapkan, notis larangan penggunaan kenderaan akan dikeluarkan dengan serta-merta.
Dalam pada itu, semasa Op HRA bermula 24 Mac, pegawai dan anggota JPJ akan berada di terminal bagi pemeriksaan bas.
"Kita juga akan periksa pemandu sama ada memiliki lesen memandu atau saman tertunggak selain advokasi kepada penumpang sebagai mata dan telinga JPJ dalam memberi maklumat," katanya.
Katanya lagi, JPJ Selangor juga menempatkan pegawai bagi penyamaran sebagai penumpang bagi mengesan kesalahan pemandu bas semasa melakukan perjalanan.
"Semasa Op Tahun Baharu Cina lepas, melalui penguatkuasaan secara penyamaran, kita telah kesan 351 kesalahan pemandu bas antaranya gagal patuh lampu isyarat, potong Q, memandu di lorong kecemasan serta memandu di lorong kanan secara berterusan," katanya.
"JPJ Selangor akan buat pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi seluruh jalan di negeri ini," katanya.
Justeru, kata Azrin, sebarang laporan atau aduan berkaitan lalu lintas boleh disalurkan melalui Aplikasi MyJPJ atau email aduantrafik@jpj.gov.my," katanya.