WUIF sasar kumpul ulama untuk wujud lembah Quran

Iklan
Marhaini (tengah) pada program Interviu bertajuk 10 Tahun World #QuranHour yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID-SINAR HARIAN

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyasarkan untuk mengumpulkan semua ulama bagi mewujudkan lembah Quran daripada program World #QuranHour yang memasuki usia sedekad penganjurannya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, lembah Quran berkenaan akan menjadi pusat ilmu dan tadabbur kitab suci tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, WUIF juga mahu mengumpul dan mengangkat dapatan daripada penganjuran World #QuranHour di seluruh dunia selain berkongsi dapatan daripada negara ini sendiri ke negara luar.

"Sebenarnya kita berhasrat untuk mengumpulkan semua dapatan yang ada di seluruh dunia ke peringkat seterusnya. Kita tengok apa sudut yang kita tidak ada namun ada di negara lain yang kita boleh contohi apa yang ada di Palestin kerana negara itu pernah adakan World #QuranHour.

Iklan

"Jadi kita harap peringkat seterusnya (daripada penganjuran World #QuranHour) nanti, kita juga dapat kumpulkan semua ulama yang ada untuk mewujudkan lembah Quran. Kita nak tengok hikmah yang kita dapat daripada (penyertaan) pelbagai negara (dalam program ini) Insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Interviu bertajuk 10 Tahun World #QuranHour yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis pada program yang dihoskan Haizir Othman itu ialah Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan WUIF, Norsyamimi Syarah Mohd Ghazni.

World #QuranHour 2025 yang mengangkat Surah al-Saff akan diadakan Selasa ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mengulas lanjut, Marhaini menegaskan, Malaysia dapat belajar dari negara-negara lain daripada dapatan berkenaan misalnya berkaitan surah al-Saff yang dikaji pada tahun ini.

"Pada tahun ini kita mengkaji surah al-Saff dan kita tak mahu kajian tersebut setakat di Malaysia sahaja. Kita kongsi dapatan yang kita ada dan kita berharap untuk terus belajar misalnya dari Indonesia dan ulama-ulamanya supaya mereka mengeluarkan apa dapatan yang mereka diperoleh daripada surah ini.

"Begitu juga kalau ada dari India yang (penyertaannya) biasanya paling besar apabila seramai antara 300,000 ke 500,000 berkumpul. Alhamdulillah setakat ini kita masih bekerja rapat dengan Indonesia tapi belum betul-betul capai ke seluruh negara," katanya.

Marhaini berkata, disebabkan program World #QuranHour turut dimulakan di UIAM bagi menarik penglibatan lebih ramai peserta luar negara kerana universiti tersebut mempunyai 33 badan alumni di seluruh dunia.

Katanya, ia kerana penuntut UAIM yang belajar di Malaysia akan kembali ke negara masing-masing yang seterusnya menjadi pemimpin dan bakal memulakan serta menyebar program berkenaan.

Ditanya mengenai pencapaian terbesar World #QuranHour selepas 10 tahun penganjurannya, Marhaini berkata, hasrat WUIF untuk melihat masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam sehari bersama al-Quran tercapai lebih awal yang turut dipengaruhi oleh pengenalan program My #QuranTime.

Justeru, Marhaini menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyertai World #QuranHour pada Selasa ini yang mungkin menjadi pecutan kepada 10 hari terakhir Ramadan dalam usaha menggemakan Surah al-Saff.

"Kita memanggil semua jiwa-jiwa untuk bersama. Kalau tidak dapat bersama di UIAM, boleh tonton di Astro Oasis atau TVAlHijrah dan juga hadir ke tempat terdekat di negeri atau tempat masing-masing.

"Insya-ALLAH semoga satu jam ini menjadi 'pause button' untuk kita membina ketenangan bersama dan melakukan pensejajaran jiwa dengan Surah al-Saff sehingga terbentuk bangunan ataupun kesatuan ummah bagi menghadapi cabaran global," katanya.