Iftar Ala Madinah bantu tingkat promosi Tahun Melawat Selangor 2025 - MBSA

Iklan
Suasana meriah Program Iftar Ala Madinah menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang untuk berbuka puasa dalam suasana harmoni dan penuh keberkatan.

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah hasil kolaborasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kumpulan Karangkraf mampu diangkat sebagai platform promosi pelancongan terbaik sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, program diadakan sepanjang Ramadan ini memperkenalkan identiti unik Selangor sebagai negeri yang memelihara tradisi, harmoni dan daya tarikan antarabangsa.

Iklan
Iklan
Mohd Fauzi (lima dari kanan) dan Hussamuddin (dua dari kiri) bergambar bersama pelajar tahfiz selepas Majlis Penyampaian Sumbangan pada Program Iftar Ala Madinah.

"Ini contoh terbaik bagaimana acara keagamaan boleh menjadi daya tarikan pelancong kerana ramai peserta antarabangsa hadir, mereka pasti sebarkan kisah positif tentang Selangor," katanya ketika ditemui ketika program itu di Dataran Karangkraf Seksyen 15 di sini pada Rabu.

Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Iklan

Program Iftar Ala Madinah turut melibatkan penyertaan maahad tahfiz di sekitar Shah Alam dan pelbagai agensi kerajaan.

Agensi hadir terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Tourism Selangor.

Iklan
Mohd Fauzi beramah mesra bersama anggota RELA dalam Program Iftar Ala Madinah di Dataran Karangkraf pada Rabu.

Antara pengisian dijalankan termasuk tarannum al-Quran daripada pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Alam Impian, Muhammad Akmal Nashrul Azam; sesi tazkirah bertajuk Detox Hati oleh Imam Masjid Shah Alam, Mohd Luqman Hakkim Rizuan selain solat berjemaah Maghrib, Isyak serta Tarawih.

Menurut Mohd Fauzi, penganjuran ini bukan sahaja mengimarah Ramadan, malah menonjolkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di bandar ini.

"Kita menonjolkan elemen Madinah selaku kota suci bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berteraskan nilai murni," ujarnya.

Mohd Fauzi (dua dari kiri) diiringi Hussamuddin (dua dari kiri) mengagihkan cenderahati kepada tetamu antarabangsa pada Program Iftar Ala Madinah di Dataran Karangkraf pada Rabu.

Beliau berkata, program ini juga mendapat penyertaan penuntut antarabangsa dari Babson College, Massachusetts, Amerika Syarikat dan Management and Science University (MSU).

"Ini menggambarkan satu kejayaan kita untuk ditunjukkan bahawa inilah masyarakat Shah Alam sebenar yang hidup dalam keadaan harmoni dan aman," tambahnya.

Selain itu, katanya, penganjuran ini juga sempena sambutan ulang tahun Jubli Perak Bandaraya Shah Alam ke-25 pada Rabu.

Kata beliau, inisiatif program ini diadakan bagi meraikan komuniti dan agensi di Shah Alam, sekali gus menyemarakkan semangat Ramadan.

"MBSA menyediakan 900 set juadah berbuka secara percuma kepada peserta program," katanya.

Beliau berkata, pada program itu juga turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Alam Impian dan Madrasah Al-Quran 'Ibaadur Rahman sebanyak RM3,000.

"Sumbangan ini merupakan salah satu program kemasyarakatan dilaksanakan MBSA dalam merapatkan hubungan perpaduan, ukhuwah dan silaturahim antara warga MBSA dengan masyarakat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk mengadakan program sama pada tahun akan datang bagi meneruskan tradisi dan memastikan lebih ramai masyarakat dapat merasai pengalaman berbuka ala Madinah di Shah Alam.

"Kami berhasrat memperluaskan lagi program ini tahun hadapan dengan penyertaan lebih ramai komuniti dan pelancong antarabangsa.

"MBSA akan menyediakan pengisian lebih sesuai dan menarik kepada pengunjung supaya program ini terus relevan dan memberi manfaat kepada semua.

"Kami mahu menjadikan Iftar Ala Madinah sebagai satu acara ikonik di Shah Alam yang bukan sahaja membawa keberkatan Ramadan tetapi menjadi tarikan utama pelancong dan masyarakat setempat," tambahnya.

"Kami sentiasa mendengar maklum balas orang ramai dan berusaha memastikan program ini memberi pengalaman bermakna untuk semua lapisan masyarakat," katanya.