Gajah jantan liar 'masuk' Kampung Bukit Tok Ali ditangkap

Iklan
Gajah yang ditangkap oleh Perhilitan di Kampung Bukit Tok Ali pada Isnin.

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Bukit Tok Ali, Jeli pada Isnin.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, jabatan itu menerima aduan daripada penduduk pada Ahad mengenai gangguan gajah liar di kampung itu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keesokannya seramai enam anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) berjaya menangkap haiwan itu.

"Operasi itu diharap dapat mengurangkan kebimbangan penduduk dan kerugian akibat konflik Gajah berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Iklan

Jelas beliau, operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan itu ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Mohamad Hafid memberitahu, Perhilitan turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah-langkah mitigasi dengan memasang lampu biru di laluan yang dikenal pasti.

Iklan

Katanya, usaha itu sebagai laluan masuk gajah liar ke kebun selain sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak-samun.

"Penduduk juga disaran membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun dan tidak mengambil tindakan sendiri jika terserempak dengan hidupan liar yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri," katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.