Pemeriksaan rumah di Wakaf King ikut prosedur - Polis

Iklan
Tangkap layar yang dimuat naik di media sosial mempersoal tindakan pihak berkuasa menyerbu rumah. Foto media sosial

TUMPAT – Pemeriksaan polis di sebuah rumah di Kampung Wakaf King di sini pada Rabu lalu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan selepas pihak berkuasa menerima maklumat bagi mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat itu dilakukan kira-kira jam 4 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan berkenaan dilakukan oleh pegawai dan anggota polis yang terlibat mengikut prosedur ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana individu dan tiada sebarang barang salah atau bahan terlarang dirampas di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan susulan hantaran tular di media sosial berkaitan pemeriksaan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Wakaf King, 16200 Tumpat.

Mohd Khairi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas kerana boleh menimbulkan kekeliruan.

Iklan

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian hendaklah dirujuk kepada pihak polis untuk pengesahan,” katanya.