Ambulans hilang kawalan rempuh dua kereta

Iklan
Ambulans yang merempuh Proton Waja selepas merempuh Perodua Viva. - FOTO: Polis

TUMPAT – Dua wanita cedera selepas sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabas dan merempuh dua kenderaan di simpang tiga Kampung Neting, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kemalangan berlaku pada jam 1.15 petang ketika ambulans jenis Toyota Hiace dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah Kelaboran menuju ke Pengkalan Kubor melalui satu selekoh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dipercayai mengalami kegagalan sistem brek ketika tiba di lokasi kejadian sebelum hilang kawalan dan merempuh sebuah Proton Waja serta Perodua Viva yang datang dari arah Kota Bharu.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Proton Waja, wanita berusia 33 tahun, mengalami pendarahan pada bahagian kepala, manakala pemandu Perodua Viva, wanita Melayu berusia 29 tahun, mengalami kecederaan pada lutut kiri.

Iklan

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup tular di media sosial.

Iklan

Mohd Khairi berkata, pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.