TUMPAT – Dalam usaha mengukuhkan asas pendidikan awal dan kemudahan yang lebih baik, hampir 200 Tabika Perpaduan di seluruh negara dikenal pasti untuk diselenggara dan dibaik pulih tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud berkata, kerja-kerja akan dilaksanakan melalui peruntukan RM5 juta yang disediakan oleh kerajaan bagi membaiki pelbagai kerosakan termasuk baik pulih struktur bangunan dan menggantikan perabot serta kemudahan uzur.
"Keadaan fasiliti di Tabika Perpaduan berbeza-beza kerana ada yang disewa, dibina sendiri atau menumpang di bangunan lain.
"Tahap kerosakan juga tidak sama, ada yang dalam keadaan baik, manakala ada juga yang sudah uzur dan memerlukan penyelenggaraan segera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni Madani Kampung Baru Pasir Pekan di Masjid Al-Rahman di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, antara faktor utama menyebabkan kerosakan tabika ialah usia bangunan yang sudah lama serta bencana seperti banjir.
"Jika kerosakan berpunca daripada bencana alam seperti banjir, bantuan segera akan diberikan untuk membaiki struktur bangunan dan perabot bagi memastikan kelangsungan sesi pembelajaran murid-murid tidak terjejas,” jelasnya.
Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan tabika yang mengalami kerosakan serius terlebih dahulu.
"Setiap negeri menerima jumlah peruntukan yang hampir setara, dengan antara 10 hingga 15 tabika dikenal pasti untuk dibaiki.
"Di Kelantan sahaja, sebanyak 12 Tabika Perpaduan dimasukkan dalam sistem untuk proses baik pulih dalam masa terdekat,” katanya.
Selain peruntukan RM5 juta daripada kerajaan, JPNIN juga mempunyai peruntukan tambahan di bawah perbelanjaan mengurus (OE) untuk pembaikan kecil yang tidak memerlukan kos tinggi.
Menurut Che Roslan, usaha penyelenggaraan ini selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi kanak-kanak di Tabika Perpaduan.
"Kita mahu memastikan setiap tabika berada dalam keadaan selamat dan selesa agar proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
"Kerja-kerja baik pulih ini amat penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di negara ini,” katanya.