APAD siasat syarikat bas kenakan tambang berganda sempena Aidilfitri

Iklan
Anthony Loke (dua dari kiri) memakaikan topi keledar baharu yang diagihkan kepada pengguna pada Program Pertukaran Topi Keledar di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut hari ini. - FOTO: SINAR HARIAN

JERANTUT - Kementerian Pengangkutan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan melakukan siasatan terhadap pengendali bas ekspres yang mengenakan tambang berganda sempena Aidilfitri.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan ekoran pendedahan sebuah akhbar tempatan pada Selasa mengenai dakwaan pengguna terhadap kenaikan tambang bas berganda sehala dari ibu kota ke Pantai Timur tahun ini.

Iklan
Iklan

"Jadi saya telah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat syarikat bas tersebut mengenai perkara ini (kenaikan tambang). Kita ada dua kategori perkhidmatan bas, iaitu bas ekonomi dan eksekutif. Kalau bas ekonomi, harga tiket memang dikawal dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

"Bagi bas eksekutif pula, mereka ada perkhidmatan tambahan dan harga tiket ini memang tidak dikawal. Walaupun tidak dikawal, kategori eksekutif pun kita akan lihat, kalau dia naik keterlaluan, kita akan ambil tindakan. Jadi, perkara ini kita rujuk kepada APAD dulu untuk kita siasat syarikat ini," katanya.

Iklan
Sebahagian daripada penerima topi keledar baharu bergambar kenangan bersama pada Program Pertukaran Topi Keledar di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut hari ini. - FOTO: SINAR HARIAN

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Pertukaran Topi Keledar di dewan utama Majlis Daerah Jerantut, di sini pada Selasa.

Jelasnya, tindakan tegas menanti pengendali dan pemilik termasuk membatalkan lesen mereka jika melanggar syarat pelesenan.

Iklan

Ujarnya, pengendali bas telah diberikan kebenaran untuk mengenakan surcaj 10 peratus ketika tempoh perayaan dan tidak boleh lebih daripada itu.

Katanya, ia bukan perkara baharu namun telah dilaksanakan sejak 20 tahun lepas iaitu dibenarkan seminggu sebelum dan seminggu selepas hari perayaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi bersepadu menjelang musim perayaan Aidilfitri akan dilaksanakan bermula 24 Mac hingga 8 April depan.

"Ada beberapa kawasan telah kita kenal pasti sebagai hotspot, di Pahang sahaja ada 36 lokasi. Kita akan menempatkan pegawai (dan anggota) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di (lokasi) hotspot tersebut,” tambahnya.

Mengulas program pertukaran topi keledar pula, beliau memberitahu sebanyak 500 topi keledar diagihkan kepada orang ramai di Jerantut.

"Pada hari ini, pihak kementerian dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) menyerahkan sebanyak 500 unit topi keledar kepada penduduk Jerantut sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya.

" Apa yang saya lihat tadi, kebanyakan topi keledar yang dibawa orang ramai, memang tidak sesuai lagi digunakan, tidak mampu untuk melindungi sepenuhnya penunggang dan pembonceng motosikal itu.

"Jadi, adalah amat penting untuk kita memakai topi yang baik dan program ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran berkenaan itu,” ujarnya.