Seludup rokok guna bot nelayan laut dalam

Iklan
Anggota Maritim Malaysia negeri Kelantan yang melakukan pemeriksaan terhadap nelayan di perairan negara.

PASIR PUTEH - Sindiket penyeludupan dikesan menggunakan taktik baharu dengan menyeludup masuk rokok seludup menggunakan bot nelayan laut dalam bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, hasil risikan mendapati sindiket kini tidak lagi bergantung kepada bot pancung semata-mata, sebaliknya menggunakan bot nelayan yang berkapasiti besar bagi membawa masuk rokok seludup dalam jumlah yang banyak.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil pemantauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan mendapati bot nelayan digunakan untuk membawa masuk rokok seludup sebelum dipindahkan ke bot pancung dalam kuantiti lebih kecil bagi tujuan pengedaran.

"Dalam tangkapan awal Januari lalu, kami berjaya menahan sebuah bot nelayan yang dipercayai digunakan untuk membawa masuk lebih 2,100 peti rokok seludup bernilai RM13 juta termasuk cukai.

Iklan

"Mereka menggunakan bot nelayan ini kerana ia lebih sukar dikesan dan mampu membawa masuk jumlah rokok yang lebih besar dalam satu perjalanan,” katanya pada pemberita sempena Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, taktik itu dikesan selepas beberapa ‘hotspot’ yang sebelum ini menjadi laluan utama penyeludupan kini didapati kosong susulan tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat.

Iklan

Katanya, sindiket dipercayai menukar strategi dan lokasi pendaratan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sungai-sungai di Kelantan dikenal pasti sebagai lokasi utama pendaratan rokok seludup kerana ia membolehkan sindiket beroperasi dengan pantas.

"Mereka akan menggunakan bot pancung untuk memindahkan rokok dari bot nelayan sebelum segera meninggalkan lokasi bagi mengelak dikesan,” katanya.

Erwan Shah berkata, pihaknya kini memperketatkan pemantauan terhadap semua bot nelayan yang memasuki perairan negara bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Selain itu, katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung dakwaan bahawa terdapat bot nelayan yang turut membawa masuk rokok seludup ke jeti.

"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat nelayan yang terlibat, namun perkara ini masih dalam pemantauan dan siasatan rapi sedang dijalankan.

"Kerjasama dengan komuniti nelayan juga diperkukuh bagi mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan ini,” katanya.