[VIDEO] Lelaki dikehendaki polis, miliki 7 rekod jenayah maut ditembak

Iklan

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang dikehendaki polis dalam kes samun bersenjata api maut ditembak selepas melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis dalam kejadian berdekatan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjalankan rondaan Op Laras terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika anggota polis cuba menahan untuk memeriksa kenderaan terbabit, suspek berusia 31 tahun itu bertindak agresif dan melepaskan tembakan.

"Suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah pasukan polis, menyebabkan mereka terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

Iklan

"Apabila keadaan kembali terkawal dan tiada sebarang ancaman, pihak polis melakukan pemeriksaan dan mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Ahad.

Mohd Khairi (tengah) menunjukkan senjata api yang dirampas dalam kejadian berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di Besut, awal pagi Ahad.

Mohd Khairi berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol bersama magazine berisi peluru di lantai tempat duduk pemandu.

Iklan

"Polis turut menjumpai satu bungkusan hitam dipercayai mengandungi dadah jenis pil kuda serta satu plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu dengan nilai rampasan dianggarkan RM29,000.

"Hasil semakan mendapati suspek berasal dari Pasir Puteh, Kelantan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, ugutan jenayah, pecah rumah, curi serta samun bersenjata api pada 2023.

"Kita percaya suspek terlibat dalam sindiket jenayah dan dadah, malah dadah yang ditemui dalam kenderaan tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Effie Ezral Mohd Izham di talian 014-8052884 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya.