KUANTAN – Jika dahulu tikar menjadi pilihan utama, kini kerusi ‘healing’ pula mencuri perhatian dalam melengkapkan tradisi berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK 1) di sini.
Pengunjung kini menikmati juadah berbuka puasa sambil bersandar di kerusi ala-ala perkhemahan sambil berbual di bawah langit terbuka, sekali gus menjadikan suasana iftar lebih unik dan menarik saban tahun.
Pekerja perkhidmatan sewaan tikar dan kerusi, Farah Umairah Amir Samsudin, 24, berkata, inisiatif menawarkan sewaan kerusi tersebut diperkenalkan bagi memberi pengalaman berbuka yang lebih selesa dan berbeza kepada pengunjung.
"Kami cuba memperkenalkan sewaan kerusi sebagai alternatif kepada pengunjung dan Alhamdulillah ramai yang berminat.
"Setakat ini, tikar masih mendapat permintaan tetapi ramai juga yang ingin mencuba kelainan dengan berbuka menggunakan kerusi," katanya ketika ditemui di Padang MBK 1 di sini pada Sabtu.
Menurutnya, setiap kerusi disewa pada harga RM5 manakala meja kecil boleh disewa secara berasingan pada harga RM10.
"Namun, bagi mereka yang menyewa empat buah kerusi sekali gus, kami berikan meja secara percuma sebagai nilai tambah," katanya.
Pengunjung, Nur Halimatun Ahmadtis, 28, memberitahu, pengalaman berbuka menggunakan kerusi ‘healing’ buat kali pertama memberikan kelainan.
"Ramadan tahun lalu, saya berbuka beralaskan tikar. Memang seronok bila ramai-ramai duduk bersama. Tapi tahun ini saya cuba berbuka dengan kerusi ‘healing’ pula.
"Kalau datang dalam kumpulan besar, tikar lebih praktikal. Kalau hanya dua atau tiga orang, saya rasa lebih selesa guna kerusi sebab santai dan ada sedikit privasi," katanya.
Sementara itu, Nur Izah Razali, 30, yang sudah beberapa kali berbuka di Padang MBK 1 berkata, pengalaman berbuka di sini patut dirasai oleh semua orang, terutama dengan pilihan baharu seperti sewaan kerusi.
"Setiap tahun suasana di Padang MBK ini meriah dan kini lebih menarik kerana ada pilihan untuk duduk di atas kerusi atau tikar.
"Apa yang penting, kemeriahan berbuka beramai-ramai tetap terjaga," katanya.