JOHOR BAHRU - Seorang penyelia kilang kerugian RM68,000 selepas terpedaya dengan taktik along yang menawarkan pinjaman mudah melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula pada 4 Mac lalu apabila mangsa, seorang wanita berusia 28 tahun menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Ramon’.
"Mangsa ditawarkan pinjaman RM10,000 dan bersetuju tanpa menyedari helah suspek. Tidak lama selepas itu, RM8,000 dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan atas nama mangsa.
"Namun, dalam tempoh 9 hingga 12 Mac, mangsa dipaksa membuat pembayaran balik secara berulang kali. Sebanyak 33 transaksi ke dalam 19 akaun bank berbeza dilakukan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM68,000,” katanya dalam satu kenyataan malam Jumaat.
Menurut Raub, suspek bertindak agresif dengan mengugut dan mengancam mangsa supaya terus membuat pembayaran termasuk mengancam untuk mengganggu keluarganya di rumah.
Tambah beliau, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga.
"Hasil semakan melalui aplikasi Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati semua 19 akaun bank berkenaan tidak mempunyai rekod penipuan lampau.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1991 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman mudah oleh along yang kini semakin berani menggunakan tekanan psikologi serta ugutan untuk memerangkap mangsa.