KES seorang wartawan portal yang didakwa menerima rasuah RM20,000 daripada seorang warga Pakistan menimbulkan persoalan mengenai etika kewartawanan dan integriti dalam profesion media.
Integriti seorang wartawan amat penting dalam memastikan laporan yang disampaikan bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan, terutama apabila ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.
Pada Jumaat, wartawan portal berita tempatan tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000.
B Nantha Kumar, 42, didakwa menerima wang tunai itu daripada Muhammad Zahid, seorang warganegara Pakistan sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berhubung sindiket kartel pekerja asing Pakistan.
Kes ini mencerminkan cabaran yang dihadapi wartawan dalam menjalankan tugas mereka, terutama apabila berdepan dengan godaan kewangan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap media.
Pihak berkuasa perlu memastikan siasatan dilakukan secara telus bagi menentukan sama ada pertuduhan tersebut berasas atau sebaliknya.
Jika terbukti bersalah pula, kes itu boleh mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya lebih banyak kes rasuah dalam kalangan pengamal media.
Sebaliknya, jika tertuduh tidak bersalah, ia perlu dijadikan peringatan bahawa wartawan boleh terdedah kepada tuduhan yang mungkin menjejaskan reputasi dan kerjaya mereka.
Bukan itu sahaja, kes tersebut juga menekankan keperluan bagi organisasi media memperkukuhkan mekanisme pemantauan dalaman untuk mengelakkan warga kerjanya terjerumus dalam gejala rasuah.
Latihan berkala mengenai etika kewartawanan dan kepentingan menjaga integriti wajar diperluaskan bagi memastikan wartawan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme.
Dalam konteks lebih luas, kes ini juga menimbulkan persoalan mengenai tekanan yang dihadapi wartawan dalam industri media, terutama apabila berdepan dengan desakan untuk mendapatkan berita eksklusif dan mengekalkan kedudukan dalam organisasi.
Wartawan sering berada dalam situasi berisiko tinggi apabila melaporkan isu berkaitan jenayah, imigresen atau rasuah, yang kadangkala boleh membuka ruang kepada ugutan, tekanan dan percubaan sogokan oleh pihak berkepentingan.
Kesimpulannya, menyentuh mengenai kepercayaan masyarakat terhadap media juga boleh terhakis jika isu rasuah dalam kalangan wartawan tidak ditangani dengan tegas.
Integriti dan ketelusan dalam penyampaian berita amat penting bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang benar tanpa dipengaruhi oleh kepentingan tertentu.
Kepercayaan terhadap media hanya dapat dikekalkan jika setiap pengamal media berpegang teguh kepada prinsip kejujuran, ketelusan dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.