KEBIASAAN pada bulan Ramadan, masjid dan surau akan dipenuhi dengan umat Islam yang berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah dan merebut pahala yang berganda.
Tidak kira golongan dewasa, warga emas dan remaja, bahkan kanak-kanak juga turut sama mengambil peluang untuk berada di masjid bagi merasai suasana beribadah pada bulan yang penuh kemuliaan ini.
Bagaimanapun, terdetik perasaan serba salah terutamanya bagi golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.
Atas pertimbangan tersebut, ada ibu bapa muda membatalkan hasrat untuk beribadah di masjid.
Bagi meraikan golongan tersebut dan menyelesaikan masalah mereka, pihak masjid mula membuka ruangan khas untuk kanak-kanak.
Naqib Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Ustaz Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir menjelaskan, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan program khas untuk kanak-kanak ini bermula selepas negara berjaya menangani pandemik Covid-19 sekitar tahun 2023.
"Selepas beberapa ketika masjid ‘sunyi’ disebabkan keterbatasan akibat Covid-19, pihak masjid mula memikirkan cara untuk menarik kembali jemaah untuk datang ke masjid, khususnya daripada kalangan anak muda dan kanak-kanak.
Ibu bapa tenang, khusyuk beribadah
Menurutnya, pada ketika itu, kehadiran ibu bapa dan anak-anak semakin meningkat dan ibu bapa tidak perlu risau untuk menjaga anak-anak mereka serta boleh menumpukan sepenuh perhatian dengan ibadah bersama imam dan jemaah lain.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Fakhruddin menjelaskan, atas alasan itulah yang menjadi antara matlamat utama program tersebut diadakan bermula 1 hingga 25 Ramadan setiap tahun.
"Antara lain kita mahu melihat kanak-kanak ini hadir ke masjid dan merasai suasana beribadah bersama dengan ibu bapa mereka dalam keadaan yang tenang dan terkawal.
"Biarlah mereka datang ke masjid untuk tujuan bermain di Kidszone Ramadan ini. Sekurang-kurangnya mereka ada keinginan untuk hadir ke masjid.
Begitu juga pihak masjid tidak mahu jemaah melihat kanak-kanak sebagai satu gangguan untuk mereka beribadah dan merasakan golongan ini perlu dijauhkan, ujarnya.
"Dengan penganjuran program seumpama ini, kita dapat menyelamatkan keadaan tersebut dan membuang rasa skeptikal segelintir jemaah yang tidak sukakan kanak-kanak ini,” katanya.
Sambutan baik, terpaksa hadkan bilangan kanak-kanak
Mengulas mengenai aktiviti yang diadakan pada Kidszone Ramadan, beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan, terdapat empat aktiviti yang dilakukan pada setiap malam.
"Seawal pukul 8 malam kita telah membuka ruangan kanak-kanak ini melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun dan kebawah.
"Bersama dua petugas, mereka akan melakukan aktiviti mewarna, menonton tayangan, bermain istana mini dan kolam bola,” ujarnya.
Bagi kanak-kanak berusia 8 tahun dan ke atas pula, pihak masjid akan mengajak mereka untuk mengerjakan solat berjemaah bersama para jemaah lain, katanya.
"Bukan ahli kariah juga turut sama dalam program kali ini, ada antara mereka yang datang dari Gombak dan Shah Alam serta kawasan sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Ujar Ustaz Ahmad Fakhruddin, maklum balas daripada ibu bapa juga setakat ini sangat positif setakat penganjuran progam berkenaan.
Walaupun masih ada kelemahan yang perlu dibaiki, pihaknya berharap ibu bapa, jemaah dan kanak-kanak masing-masing memperoleh manfaat daripadanya.
"Alhamdulilah, perkembangan baik untuk program seumpama ini apabila semakin banyak masjid yang menganjurkannya.
Harapannya agar penganjuran seperti Kidszone Ramadan ini dapat diberbanyakkan lagi, bukan sahaja di ibu negara, bahkan dilaksanakan juga di masjid-masjid seluruh negara agar generasi muda semakin mencintai rumah ALLAH itu sekali gus melahirkan pelapis yang membesar dalam suasana suka beribadah dan hatinya dekat dengan masjid.