SHAH ALAM - Perbuatan berpura-pura menunjukkan sisi baik supaya dipandang sebagai seorang yang penting hanya akan menjerat diri sendiri.
Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nurhafizah Mohd Sukor berkata, ia kerana orang sekeliling lama-kelamaan akan mengetahui bagaimana perbuatan seseorang tidak sama dengan nilai dan sikap yang ditunjukkan di khalayak ramai.
Katanya, semua individu mempunyai kecenderungan untuk menampakkan sisi yang baik dan sempurna pada diri masing-masing.
"Berdasarkan aspek psikologi sosial, umumnya seseorang individu akan mempamerkan tanggapan yang positif semasa berinteraksi dengan orang lain. Dalam hal ini, seseorang itu sebolehnya akan menyembunyikan aspek kekurangan dan ketidakupayaan diri.
"Maka kemungkinan dia akan menyatakan sesuatu perkara atau berjanji untuk melakukan sesuatu supaya dipandang sebagai seorang yang penting, mempunyai kelebihan dan harga diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, perbuatan tersebut dilihat menjadi satu kebiasaan termasuk kepada diri sendiri, pekerjaan, keluarga dan rakan.
"Tidak perlu menjadi hipokrit sebaliknya menerima kelebihan dan kekurangan diri masing-masing.
"Pakar dalam bidang psikologi menetapkan bahawa perbuatan sayangi diri bukan hanya memperlihatkan segala yang positif dalam diri tetapi mengakui kelemahan diri dan cuba memperbaikinya untuk menjadi yang terbaik.
"Justeru, seseorang itu bertanggungjawab untuk menunaikan janji masing-masing kerana ia menunjukkan komitmen individu tersebut,” katanya.
Tambahnya, jika tidak dapat tunaikan janji, seseorang sepatutnya memohon maaf dengan bersungguh-sungguh dan tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada orang lain dengan janji bagi mengelakkan suasana tegang.
"Perbuatan kerap berjanji tanpa melunaskannya membuatkan orang lain mula tidak percaya dan hilang rasa hormat selain mengeruhkan hubungan,” katanya.
Katanya, dalam Islam turut menekankan nilai menunaikan janji dan jauhi sikap hipokrit.