'Orang Melayu dapat manfaat terbesar jika PSB dilaksana' - Azman

Iklan
Azman (kanan) ketika program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

SHAH ALAM - Pemilik tanah khususnya orang Melayu bakal memperoleh pelbagai manfaat dari aspek peluang ekonomi sekiranya inisiatif menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilaksanakan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyediakan ruang-ruang tertentu untuk merancakkan ekonomi setempat seperti pasar, kedai mampu milik, lot penjaja, dan banyak lagi.

Iklan
Iklan

"Apabila kita tengok dalam konteks Kampung Kerinchi ketika dibangunkan dahulu, tak ada kedai serbaneka, medan selera, dan fasiliti. Tetapi, apabila dibangunkan semula, kita dapat lihat ada medan selera, sewaan kedai serbaneka serta ramai orang Melayu berniaga.

"Begitu juga dengan Razak Mansion yang dibina pada 1963, sudah hancur dan tak boleh didiami. Jadi, apabila dibangunkan semula dari 400 meter persegi, dapat 800 meter persegi. Nilai hartanah kira-kira dari RM30,000 menjadi RM214,000. Adakah itu rugi?

Iklan

"Razak Mansion juga ada bina 24 lot kedai, semuanya boleh disewa penduduk Melayu sekali gus mampu merancakkan ekonomi mereka. Justeru, saya tak nampak PSB ini kononnya kerajaan buat untuk usir orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' yang dihoskan oleh Haizir Othman secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, penggubalan RUU PSB bakal dilaksanakan dengan berpaksikan 10 prinsip bagi memastikan kepentingan pemilik dilindungi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu, pihaknya melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC) telah melaksanakan Analisis Kesan Peraturan (RIA) serta menyediakan laporan Kenyataan Kesan Peraturan (RIS).

Bagaimanapun, perkara tersebut ditentang ramai pihak kerana ada yang mendakwa ia menghapuskan keistimewaan kaum Melayu, khususnya golongan B40 dan M40, sekali gus mengancam hak milik hartanah rakyat.

Mengulas lanjut, Azman memaklumkan, persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, penjagaan kepentingan empunya tanah, caj penyelenggaraan yang sesuai, serta penempatan sementara yang kondusif antara 10 prinsip yang ditekankan menerusi RUU PSB.

Menurut beliau, empat prinsip utama tersebut jelas merupakan satu mekanisme terbaik dan jaminan bahawa mengekalkan pemilik tanah atau penduduk asal adalah mandatori.

Tambahnya, pemilik bukan sahaja ditawarkan satu kediaman baharu selepas projek disiapkan, malah akan menerima manfaat sepanjang kerja pembinaan dijalankan, termasuk penginapan sementara yang selesa, kos perpindahan, kemudahan, dan lain-lain.

"Selain itu, RUU PSB akan memastikan dasar yang ditetapkan oleh undang-undang sedia ada, khususnya mengenai status tanah rizab Melayu, peratusan kuota bumiputera, dan hak pribumi asal terus dipelihara.

"Justeru, kebimbangan isu gentrifikasi yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak hanya cubaan untuk memesongkan pemikiran masyarakat.

"Kerajaan mahu bela rakyat yang tinggal di bandar tetapi terhimpit masalah keusangan, ketidakselesaan, dan ancaman keselamatan," ujar Azman.