Legacy Talk for Leaders: Kepimpinan hebat berpandukan al-Quran

Iklan
Program Legacy Talk for Leaders anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Kumpulan Media Karangkraf dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB) di Dewan Karangkraf di sini pada Rabu. Foto kecil: Fazrul

SHAH ALAM - Al-Quran merupakan manual operasi terbaik bukan sekadar rujukan spiritual, malah menjadi landasan dalam membina legasi yang mengatasi segala perniagaan di dunia.

Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd merangkap Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, ia merupakan pedoman utama dalam membentuk kejayaan yang bermakna berlandaskan nilai ketuhanan dan kesejahteraan ummah.

Iklan
Iklan

"Selari dengan itu, program Legacy Talk for Leaders merupakan inisiatif awal untuk kita kumpulkan pemimpin-pemimpin daripada organisasi swasta dan juga kerajaan untuk membincangkan bagaimana memimpin dengan panduan surah al-Baqarah, ayat satu hingga lima.

"Lima ayat itu ada rahsia kepimpinan yang diajarkan kepada nabi yang ingin kita kongsikan dan peserta turut mendapat inspirasi daripada kisah-kisah kepimpinan dalam al-Quran serta individu berpengaruh pada masa kini yang telah berjaya membina legasi mereka, menjadikan kisah-kisah ini sebagai panduan dan motivasi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada program Legacy Talk for Leaders anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Kumpulan Media Karangkraf dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB) di Dewan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai syarikat korporat di bawah Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), rakan sinergi WUIF dan ASISB dengan tujuan memperkukuh nilai-nilai kepimpinan berlandaskan al-Quran dan sunnah dalam pengurusan organisasi.

Iklan

ASISB merupakan penganjur utama program dengan WUIF sebagai rakan strategik yang berkongsi aspirasi untuk merealisasikan matlamat"MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah" melalui pakej latihan berteraskan al-Quran dan sunnah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut adalah signifikan dalam menyokong SDK JAKIM seiring dengan peranan Kumpulan Media Karangkraf sebagai ahli SDK yang komited dalam memperkasakan nilai Islam dalam sektor korporat.

"SDK JAKIM memiliki potensi besar untuk membumikan nilai-nilai al-Quran dalam sistem pengurusan organisasi mereka. Menerusi tenaga kerja serta rangkaian yang luas, mereka berupaya membina dan mewariskan legasi berlandaskan prinsip al-Quran untuk manfaat generasi akan datang," ujarnya.

Program berkenaan turut menampilkan Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang membimbing bacaan Surah al-Saff, diikuti penyampaian tadabbur ringkas oleh Fazrul Ismail, kemudian forum bertajuk"Dari kepimpinan ke Transformasi Ummah” yang diberi pengisian oleh oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail dan Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, salah seorang peserta yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Little Caliphs, Datuk Roslan Nordin berkata, Legacy Talk for Leaders bukan sekadar program sebaliknya sebagai wadah mengenai penerangan dan perkongsian mengenai kelebihan al-Quran dalam membina organisasi yang berjaya.

"Secara keseluruhannya banyak yang saya dapat melalui program ini apatah lagi berkumpul dengan orang orang yang hebat," kata beliau.

Senada dengan itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil juga peserta program berharap usaha yang dilakukan penganjur dapat diteruskan.

"Saya melihat bahawa usaha yang dibuat Karangkraf dan juga rakan-rakan senergi ini menunjukkan masyarakat tidak boleh lari daripada menjadi pemimpin, setiap individu adalah pemimpin dan dalam hal ini memimpin itu mestilah membawa kepada kebahagian dunia akhirat," katanya.