SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan memberi suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bagi membayar hutang syarikat itu kepada vendor, terutamanya 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak serta gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan modal tersebut adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan bertujuan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
Menurut beliau, langkah itu juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.
"Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
Sebelum ini, Anwar mengakui, beliau tidak senang dengan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat besar tatkala puluhan ribu syarikat kecil sedang 'terlantar.'
Bagaimanapun beliau menjelaskan, suntikan RM1.1 bilion kepada SEB merupakan suatu pinjaman yang perlu dibayar balik.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa proses audit telah dilaksanakan dan ketekunan wajar atau ‘due diligence’ tambahan akan dijalankan sebagai prasyarat sebelum penstrukturan serta suntikan modal dimuktamadkan.
"Selanjutnya, dapatan due diligence ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan diambil ke atas mana-mana pihak.
"Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah,” ujarnya.
Kata beliau, suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas (O&G) yang strategik untuk ekonomi negara.