WISCONSIN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), menghubungi talian kecemasan 911 selepas mendapati ibunya memakan aiskrim miliknya.
Menurut CNN, kejadian yang berlaku pada 4 Mac lalu, mendapati kanak-kanak tersebut menghubungi dan memberitahu operator bahawa ibunya berkelakuan 'nakal' serta perlu 'dibawa pergi'.
"Datang dan ambil ibu saya,” kata kanak-kanak itu apabila ditanya oleh operator mengenai apa yang berlaku.
Sebelum dia sempat menjelaskan lebih lanjut, ibunya segera mengambil telefon tersebut dan memaklumkan operator bahawa anaknya berusia empat tahun itu yang membuat panggilan.
Dalam pada itu, kedengaran kanak-kanak lelaki tersebut di latar belakang dan masih kecewa serta bertengkar dengan ibunya.
Pihak polis kemudian mengunjungi rumah keluarga tersebut untuk memastikan tiada isu serius yang tersembunyi di sebalik 'kecurian' aiskrim.
Setibanya pegawai polis, kanak-kanak tersebut menegaskan bahawa ibunya telah memakan aiskrim dan berpendapat ibunya patut dipenjarakan.
Namun, selepas berbincang dengan pegawai polis, dia memutuskan untuk tidak meneruskan 'tuduhan' tersebut dan menyatakan bahawa dia tidak mahu ibunya dipenjarakan sebaliknya hanya mahukan aiskrim.
Media tersebut juga melaporkan, dua hari kemudian, pegawai polis kembali dan mengejutkan kanak-kanak itu dengan dua skop aiskrim yang dihiasi taburan berwarna biru.