FENOMENA Fear of Missing Out (FOMO) atau bahasa mudahnya rasa takut ketinggalan menjadi cabaran baharu bagi masyarakat kini, khususnya anak muda.
Tambahan pula dalam era digital serba pantas, media sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook memainkan peranan besar dalam mencipta budaya berbelanja berlebihan.
Gaya hidup yang dipaparkan pempengaruh dan rakan sebaya juga sering memberi tekanan kepada golongan muda untuk turut serta dalam perlumbaan status sosial.
Maka tidak hairanlah generasi muda semakin cenderung untuk berbelanja secara berlebihan sama ada membeli pakaian jenama mewah, gajet terkini atau percutian eksklusif, tabiat berbelanja mereka sering kali dipengaruhi oleh FOMO.
Golongan ini terdedah kepada kandungan yang mempromosikan gaya hidup mewah, mendorong mereka untuk berbelanja walaupun melebihi kemampuan, apatah lagi menggunakan kemudahan seperti beli sekarang bayar kemudian (BNPL) atau kad kredit tanpa kawalan.
Selain pengaruh media sosial, tekanan sosial juga memainkan peranan dalam tabiat perbelanjaan generasi muda. Rakan sebaya dan norma sosial mendorong mereka untuk sentiasa tampil bergaya dan mengikut trend terkini walaupun ia bukanlah satu keperluan.
Pengurus Dana Bertauliah, Datuk Dr Nazri Khan turut melihat lonjakan penggunaan konsep BNPL dalam kalangan anak muda semakin membimbangkan.
Menurutnya, nilai transaksi BNPL meningkat 100 peratus dalam setahun daripada RM700 juta kepada RM1.4 bilion, menunjukkan ramai mula bergantung kepada skim ini untuk keperluan harian.
Beliau yang dikenali sebagai DDNK berkata, skim ini banyak menjerat golongan muda berpendapatan rendah khususnya mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan.
Tanpa sedar, ramai terjebak dalam hutang walaupun baru meniti kerjaya, sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan dan pembangunan kekayaan mereka.
Perkara ini turut diakui Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mendedahkan bahawa jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.
Jelasnya, setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.
Beliau berkata, kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.
Justeru, bagi meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia, antara usaha yang dilakukan kerajaan adalah Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024.
Beliau menjelaskan, RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.
Ini termasuk syarikat yang menawarkan BNPL, syarikat pajakan dan pemfaktoran serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, agensi pengutipan hutang dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang.
Bagi golongan muda, walaupun FOMO mungkin menjadi pendorong utama, tapi mereka harus sedar bahawa realiti ekonomi juga tidak boleh diketepikan.
Pelbagai cabaran yang harus mereka hadapi seperti kos sara hidup yang semakin meningkat termasuk harga rumah, perbelanjaan makanan dan pendidikan tinggi.
Akibatnya, mungkin ramai yang merasakan bahawa menikmati kehidupan sekarang lebih penting daripada menyimpan untuk masa depan.
Justeru, penting bagi golongan muda untuk meningkatkan kesedaran kewangan dan mengamalkan tabiat perbelanjaan yang lebih bijak agar tidak terperangkap dalam lingkaran hutang dan ketidakstabilan kewangan pada masa hadapan.
* Farah Shazwani Ali ialah wartawan meja am Sinar Harian