Pengarah syarikat bergelar Datuk direman kes ubah wang haram jual beli kapal tangki

Iklan
Pengarah syarikat bergelar Datuk direman selama empat hari di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu. Foto SPRM

Johor Bahru – Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan hasil urusan jual beli sebuah kapal tangki.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Noorfazlin Hamdan terhadap suspek lelaki berusia 50-an selepas membenarkan permohonan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amzar Rashid.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek ditahan susulan aduan seorang mangsa warga Indonesia berhubung kontrak pembelian kapal Viet Tin 01 sekitar tahun 2020.

"Suspek dipercayai menerima, memindahkan dan menggunakan hasil haram menerusi perjanjian jual beli kapal tangki itu yang ditandatangani dengan sebuah syarikat lain pada November 2021.

Iklan

"Transaksi kewangan berkaitan kontrak itu dipercayai melibatkan penggunaan pengurup wang di Indonesia serta sekitar Johor Bahru.

"Pengubahan wang haram bagi pembelian kapal itu membabitkan transaksi kewangan yang dilaporkan mencecah RM1.5 juta antara tahun 2021 hingga 2022," katanya.

Iklan

Susulan itu, suspek ditahan kira-kira jam 4.30 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sebelum ini, SPRM pernah menahan seorang pengarah syarikat lain kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah mahkamah di Johor pada Februari 2022 membabitkan urusan pemilikan kapal dagangan yang sama.

Suspek dipercayai menggunakan dokumen palsu itu untuk mendapatkan hak penjagaan sementara kapal terbabit sebelum menjualnya dengan harga kira-kira RM1.2 juta kepada sebuah syarikat pemotongan kapal.