Sindiket rasuah daftar lewat kelahiran, 12 individu ditahan reman

Iklan
Antara suspek kes rasuah daftar lewat kelahiran ditahan dan dikenakan tahanan reman selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 12 individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara serta pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Sinar Harian difahamkan bahawa perintah reman selama empat dan lima hari, iaitu sehingga Sabtu dan Ahad, dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Sementara itu, 10 lagi suspek membabitkan empat lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an direman selama lima hari sehingga Ahad selepas Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Menurut sumber, seramai 16 suspek berusia antara 20-an hingga 70-an telah ditahan antara jam 11 pagi hingga 8 malam pada Selasa menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Iklan

Kata sumber, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang, beberapa ejen serta pemohon daftar kelahiran.

"Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025 dengan menerima serta memberi rasuah.

Iklan

"Suspek bertindak menyediakan dan mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu," katanya pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Beliau turut memaklumkan bahawa empat lagi suspek, termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang turut ditahan dalam dua operasi berkenaan, telah dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka selesai dirakam.