IPOH - Belum ada tangkapan membabitkan individu ponteng puasa direkodkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam tempoh 10 Ramadan ini.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pihaknya telah meningkatkan aktiviti pemantauan di premis-premis dikenal pasti termasuk lokasi sunyi yang sering dikaitkan dengan aktiviti 'plastik hitam'.
"Sepanjang tempoh pemantauan, belum ada tangkapan dilakukan.
"Begitupun anggota dan pegawai kita menjalankan rondaan dari semasa ke semasa, setiap hari di kawasan titik panas kaki ponteng puasa di semua daerah di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian.
Antara lokasi panas yang sering menjadi tumpuan kaki ponteng puasa di Perak sebelum ini termasuklah restoran makanan segera dan kedai makan 24 jam.
Beberapa lokasi sunyi seperti kubur dan taman turut menjadi tempat tumpuan kumpulan tersebut bagi mengelak daripada dilihat oleh orang ramai semasa tidak berpuasa.
Mengulas lanjut, Harith Fadzilah berkata, JAIPk telah menerima lapan aduan berkaitan salah laku tidak menghormati bulan Ramadan menerusi talian khas dan aplikasi WhatsApp di nombor 014-5698896, sejak dilancarkan 2 Mac lalu.
Katanya, kebanyakan aduan tersebut adalah berkaitan premis yang memulakan perniagaan makanan dan minuman lebih awal kepada orang Islam daripada waktu dibenarkan.
"Umat Islam dinasihatkan agar menjaga maruah diri dan agama.
"Rugilah bagi mereka yang tidak berpuasa di bulan mulia ini, bukan sahaja rugi di sini, tetapi di akhirat yang kekal abadi," katanya.