Anak menangis setiap kali buang air kecil

Iklan
Rizq Rayhan kini menerima rawatan di HTA Kuala Lumpur akibat batu karang dalam saluran kencing hingga menyebabkan buah pinggangnya membengkak.

PONTIAN - Tiada gelak tawa mahupun pelukan erat seorang anak ketika berbuka puasa, sebaliknya seorang ibu hanya mampu menangis melihat bayi kecilnya terbaring lemah di hospital.

Siti Farhani Erzam, 31, berkata, anaknya, Rizq Rayhan Firdaus, 11 bulan, kini menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur akibat batu karang dalam saluran kencing hingga menyebabkan buah pinggangnya membengkak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyakit itu dikesan sejak dua bulan lalu selepas bayi bongsunya itu mengalami kesukaran setiap kali membuang air kecil.

"Keadaan Rizq tidak seperti bayi lain sebab dia akan menangis dan meneran setiap kali hendak membuang air kecil. Selepas itu, dia akan demam.

Iklan

"Saya segera bawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selama dua minggu Rizq ditahan di wad, saya sebak melihat keadaannya yang menangis menahan kesakitan setiap kali membuang air kecil,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Siti Farhani berkata, pada Isnin lalu, Rizq terpaksa dipindahkan menaiki ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ke HTA untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Kami tiba di HTA pada jam 9.30 pagi dan Rizq terus dimasukkan ke wad serta dipantau doktor pakar.

"Keadaannya stabil tetapi dia tidak mahu makan dan hanya minum susu formula. Saya sentiasa berada di sisinya bagi memastikan dia dapat lena dengan selesa,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan Rizq yang masih kecil menyebabkan sebarang pembedahan tidak sesuai dilakukan buat masa ini.

"Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak sekecil ini berdepan masalah kesihatan.

"Saya reda dengan ketentuan ini dan sentiasa berdoa agar Rizq sembuh serta dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi lain,” katanya sebak.

Dalam pada itu, Siti Farhani yang bekerja di kantin sekolah berkata, pendapatannya sebanyak RM50 sehari kini terjejas kerana dia perlu menjaga Rizq di hospital.

"Pendapatan saya dibayar secara harian, kalau tidak bekerja saya tidak mendapat gaji.

"Buat masa ini, saya berada di hospital dan tidak bekerja. Saya juga rindukan anak sulung saya yang berusia tiga tahun yang kini dijaga oleh keluarga di Kampung Dalam, Ayer Baloi, Pontian,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank Siti Farhani Erzam (1511 5574 8322) atau menghubunginya di talian 010-8267334.