MELAKA - Nasib seorang pesakit kanser usus dan hati tahap empat yang hilang punca pendapatan sejak November tahun lalu mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Bencana Melaka.
Presidennya, Ashwad Abd Rahim berkata, pihaknya terpanggil membantu bekas pekerja penghantar barang, Mohamad Nasirudin Md Zen, 39, memandangkan bapa kepada seorang anak itu tidak lagi bekerja selepas kesihatan semakin merosot.
Menurutnya, memandangkan kos rawatan individu itu telah ditanggung oleh kerajaan, pihaknya bersepakat membantu Mohamad Nasirudin dari segi kos pengangkutan untuk dia berulang-alik mendapatkan rawatan ke hospital.
"Kami bersimpati dengan ujian yang menimpa Mohamad Nasirudin, lebih-lebih lagi dia kini dia tidak ada pendapatan untuk menanggung keluarga.
"Maka di bulan Ramadan ini kami memgambil kesempatan untuk meringankan beban sekali gus memberi semangat untuk dia cekal meneruskan kehidupan," katanya ketika menyampaikan sumbangan barang keperluan dan wang tunai kepada Mohamad Nasirudin di Kampung Jambatan Duyong di sini pada Rabu.
Tambahnya, biarpun bantuan itu tidak seberapa namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga tiga beranak itu.
Sementara itu, Mohamad Nasirudin berkata, tahun ini tiada sebarang persiapan raya seperti tahun-tahun lalu kerana mereka perlu berjimat cermat lebih-lebih lagi sering berulang alik ke hospital.
Menurutnya, selain dihimpit masalah kewangan memandangkan isterinya tidak bekerja dan mempunyai anak masih bersekolah, dia juga mengakui terpaksa menahan kesakitan setiap masa.
"Perut saya seperti dihiris-hiris dan dicucuk jarum tapi demi isteri dan anak saya kuatkan semangat," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang pesakit kanser usus dan hati tahap empat terpaksa menjual lebih 20 koleksi barang antik miliknya yang dianggarkan mencecah ribuan ringgit demi kelangsungan hidup.
Mohamad Nasirudin disahkan menghidap kanser pada April 2024 dan selepas tujuh bulan, dia tidak lagi mampu bekerja sekali gus hilang punca pendapatan.