Pekerja asing sembunyi celah kotak, redah selut elak dicekup

Iklan
Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan di kilang kitar semula sisa elektronik haram di Jalan Klang-Kuala Selangor, di sini pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Panik diserbu pihak berkuasa, sekumpulan pekerja warga asing bertempiaran lari, bersembunyi di celahan kotak, memanjat pagar, malah sanggup meredah tanah selut demi mengelak dicekup.

Itu antara gelagat mereka yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa selepas serbuan di sebuah kilang kitar semula sisa elektronik haram di Jalan Klang-Kuala Selangor di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, usaha mereka meloloskan diri gagal apabila kawasan premis tersebut sudah dikepung pasukan penguat kuasa kira-kira jam 9 pagi, sekali gus menyebabkan semua yang cuba melarikan diri berjaya diberkas.

Serbuan itu dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Iklan

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, seramai 78 warga asing termasuk 20 wanita yang bekerja di kilang terbabit berjaya diberkas.

"Serbuan dijalankan hasil aduan dan maklumat mengenai aktiviti pengoperasian kilang tanpa lesen berkenaan.

Iklan

"Semakan mendapati premis yang beroperasi lebih setahun itu pernah dua kali dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini," katanya pada Rabu.

Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di premis terbabit.

Beliau memberitahu, pihaknya mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih dan notis memberhentikan operasi serta merta.

"Selain itu, dua inventori sitaan peralatan perniagaan dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan," jelas beliau.

Menurut Mohamad Lutfi, polis menerusi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan 58 lelaki warga Myanmar, Indonesia, Kemboja dan China bagi tindakan lanjut.

"Ketika serbuan, seramai 20 wanita Kemboja dan Myanmar turut ditahan di kilang tersebut dengan tindakan diambil bagi membanteras isu warga asing tanpa dokumen sah dan melindungi hak pekerja yang dieksploitasi.

""Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," ujarnya.

Beliau memberitahu, JAS turut mengambil tiga jenis sampel buangan terjadual terdiri daripada sisa bateri, elektrik, dan elektronik.

"Sampel itu akan dianalisis bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar.

"Selain itu, Air Selangor melakukan pemotongan meter air terhadap premis yang melanggar peraturan manakala TNB menyemak sumber tenaga elektrik yang digunakan di lokasi berkenaan," katanya.