SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerima kritikan selepas memberikan talian hayat bernilai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd, dengan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim secara sinis menyifatkan Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri untuk golongan korporat.
Zaid turut mempersoalkan aspek keutamaan Anwar dalam menguruskan kewangan negara apabila lebih memilih untuk menyelamatkan syarikat korporat dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion, tetapi enggan membelanjakan RM800 juta untuk keperluan infrastruktur sektor pertanian.
"Perdana Menteri tiada masalah untuk menyelamatkan Sapura Energy dengan suntikan RM1.1 bilion, tetapi enggan membelanjakan RM800 juta untuk keperluan infrastruktur sektor pertanian yang akan memberi manfaat kepada 150,000 pesawah, 48,000 pekebun kelapa, serta 105,000 petani buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Beliau memang layak menjadi Perdana Menteri untuk golongan korporat. Itu tidak dapat disangkal," katanya dalam kenyataan di Facebook peribadinya pada Rabu.
Menerusi pemfailan di Bursa Malaysia pada Selasa, Sapura Energy mengumumkan telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) - syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Zamri Jusoh, dana itu akan digunakan bagi melangsaikan hutang syarikat kepada lebih 2,000 vendornya, yang majoritinya merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Vendor Malaysia kami kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana yang mengalami kesulitan kewangan yang ketara semasa dan selepas pandemik Covid-19. Sentiasa menjadi hasrat kami untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang tertunggak kepada mereka," kata Zamri dalam kenyataan di Bursa Malaysia.
Mengulas lanjut, Zaid turut menyifatkan keputusan terkini Kerajaan Madani sebagai berat sebelah dan tidak mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pertanian yang menjadi tunjang utama kehidupan rakyat luar bandar.
"Jika kerajaan boleh dengan mudah mengeluarkan RM1.1 bilion untuk menyelamatkan syarikat korporat, mengapa begitu sukar untuk memperuntukkan RM800 juta bagi meningkatkan infrastruktur pertanian yang memberi kesan langsung kepada ratusan ribu petani?" soalnya.
Beliau menambah bahawa keutamaan kerajaan seharusnya diberikan kepada rakyat yang berhempas pulas untuk meneruskan kehidupan, bukan sekadar memastikan syarikat besar terus bertahan.
"Pesawah, pekebun dan petani memerlukan bantuan segera untuk meningkatkan hasil dan daya saing mereka, tetapi nampaknya kerajaan lebih bersedia untuk menyelamatkan korporat yang sudah lama menikmati pelbagai insentif," katanya.
Sebelum ini, Anwar ketika berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiga tahun lalu, menegaskan bahawa sebarang perbincangan mengenai pakej penyelamatan hanya boleh dilakukan selepas audit forensik ke atas Sapura Energy dijalankan bagi menentukan sama ada syarikat itu telah disalah urus.
Namun, tidak jelas sama ada audit forensik tersebut telah dilaksanakan atau tidak.
Sebaliknya, Sapura Energy dalam kenyataannya hanya menyatakan bahawa syarikat sedang menjalankan 'proses usaha wajar yang menyeluruh' sebagai sebahagian daripada pelan penyelarasannya.
Sapura Energy mengalami kesukaran kewangan sejak 2019 apabila ia mula mencatatkan kerugian tahunan.
Pada Mei 2023, juruaudit luar Ernst & Young menyatakan kebimbangan terhadap keupayaan syarikat itu untuk meneruskan operasi.
Namun, syarikat tersebut dilaporkan memperoleh sokongan daripada entiti Timur Tengah yang dikatakan akan menyuntik modal sebanyak RM1.8 bilion.
Pada bulan lalu, Sapura Energy mendapat kelulusan mahkamah untuk melaksanakan skim penstrukturan semula hutang selepas menerima persetujuan daripada pemiutangnya.