Pesakit kanser tahap 4 jual barang antik sara hidup

Iklan
Mohamad Nasirudin menunjukkan koleksi basikal tua miliknya yang masih disimpan di rumahnya di Kampung Jambatan Duyong.

MELAKA - Seorang pesakit kanser usus dan hati tahap empat terpaksa menjual lebih 20 koleksi barang antik miliknya yang dianggarkan mencecah ribuan ringgit demi kelangsungan hidup.

Mohamad Nasirudin Md Zen, 39, yang pernah bekerja sebagai penghantar barang disahkan menghidap kanser pada April 2024 dan selepas tujuh bulan, tidak lagi mampu bekerja, sekali gus hilang punca pendapatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehidupan lebih mendesak apabila isterinya Norhayati Hassan, 42, juga tidak bekerja dan mereka memiliki seorang anak lelaki berusia tujuh tahun yang masih bersekolah.

Mohamad Nasirudin (kiri) menunjukkan gambar kenangan mereka sekeluarga meraikan Aidilfitri tahun lalu.

Iklan

Katanya, meskipun sedih untuk melepaskan barangan antik yang dikumpulkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti motosikal kesayangannya iaitu Yamaha Pasolla dan Yamaha YB, namun hanya itu sahaja cara untuk mereka menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

"Separuh sudah barang antik yang terpaksa dijual termasuk motor Pasolla dan walaupun berat hati tetapi saya tiada pilihan.

Iklan

"Setakat ini saya hanya menerima pencen ilat dari Keselamatan Sosial (Perkeso) kira-kira lebih RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambatan Duyong di sini pada Selasa.

Tambah bekas pemain ragbi itu, dunianya menjadi gelap selepas dimaklumkan menghidap kanser sehinggakan masanya lebih banyak dihabiskan dengan berkurung dalam bilik selain tidak mahu berjumpa dengan sesiapa.

Katanya, penyakitnya dikesan selepas mengalami sakit perut selama dua bulan yang menyebabkannya sukar bergerak dan bernafas.

Sebahagian koleksi barangan antik yang disimpan dalam sebuah bilik di rumah Mohamad Nasirudin.

"Lama kelamaan saya semakin boleh terima kenyataan dan biarpun kesakitan itu sentiasa hadir, namun sebagai ketua keluarga saya perlu kuat.

"Cuma saya sedih dalam keadaan serba kekurangan ini, ada permintaan anak yang masih kecil tak dapat saya penuhi," ujarnya.

Jelasnya, dia bersyukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem telah beberapa kali melawat dan berjanji untuk membantu termasuk mempercepatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan bebannya.

"Saya harap diberikan peluang untuk terus hidup. Jika ALLAH pinjamkan nyawa lebih lama, sekurang-kurangnya dapat saya meraikannya Aidilfitri bersama keluarga," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Affin Bank 200328038486 atas nama Mohamad Nasirudin Md Zen atau menghubunginya di talian 017-6363103.