KOTA BHARU - Umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk mempamerkan perbuatan dosa dan maksiat kerana boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat terutama golongan muda.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perbuatan menayangkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam bukan sahaja melanggar nilai moral, malah boleh membawa kepada normalisasi kemungkaran dalam kalangan umat Islam.
"Al-Quran menegaskan supaya kita saling membantu dalam perkara kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa serta permusuhan.
"Umat Islam sepatutnya menonjolkan kebaikan dan bukan mendedahkan keburukan apatah lagi di media sosial yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui di Pejabat Mufti Kelantan di Balai Islam, Lundang di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut tampil menegur masyarakat termasuk artis supaya tidak menormalisasi maksiat.
Mohamad Shukri berkata, perkembangan dunia digital yang pesat menyaksikan segelintir individu tidak lagi malu untuk berkongsi perbuatan yang bertentangan dengan agama, seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, serta kandungan yang mengundang maksiat.
Menurutnya, sikap sebegini boleh memberi mesej yang salah kepada masyarakat, seolah-olah perbuatan tidak bermoral itu sesuatu yang boleh diterima dan diraikan.
"Kita melihat ada trend di mana masyarakat bangga mempamerkan perkara-perkara yang tidak baik, sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.
"Jika kita mahu membentuk masyarakat yang baik, maka perkara yang baik perlu dipromosikan, sebaliknya, apa-apa yang bertentangan dengan agama perlu dijauhi dan tidak dibanggakan,” katanya lagi.
Datuk Mohamad Shukri turut mengingatkan bahawa pendedahan kepada kandungan negatif boleh memberi kesan kepada pemikiran, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang masih belum dapat membezakan antara yang hak dan batil.
Beliau menegaskan bahawa Islam bukan agama yang suka mencari kesalahan orang lain, namun umatnya perlu memahami bahawa keburukan tidak sepatutnya dipertontonkan kepada umum kerana boleh menggalakkan lebih ramai orang melakukan dosa yang sama.
"Sebaiknya, gunakan media sosial untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat, nasihat agama dan perkara yang boleh mendekatkan kita kepada ALLAH.
"Jika seseorang terlanjur melakukan kesalahan, janganlah dipertontonkan, sebaliknya berusaha bertaubat dan memperbaiki diri,” katanya.
Justeru, beliau mengajak semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial dan sentiasa memastikan setiap perkongsian selari dengan ajaran Islam serta nilai-nilai murni.