PETALING JAYA - Jiran kepada Ismanira Abdul Manaf memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, bahawa dia tidak menyangka anaknya bermain 'kejar-kejar' dengan Zayn Rayyan Abdul Matin, beberapa minit sebelum kanak-kanak autisme itu dilaporkan hilang, 5 Disember 2023 lalu.
Saksi pendakwaan ke-21, Nor Zaini Zainul berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, dalam perbicaraan hari ke-11, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira.
Suri rumah berusia 39 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh suami, menerusi WhatsApp pada jam 12.45 tengah hari, tarikh sama.
"Saya terkejut, sebab masa anak lelaki saya yang berusia 10 tahun bermain, dia hanya beritahu"mama saya kejar budak" antara jam 12.13 dan 12.14 tengah hari.
"Ketika itu, saya memanggilnya kerana sudah tiba masa untuk ke sekolah memandangkan van sekolah sudah tiba," katanya.
Dalam pada itu, saksi yang tinggal di blok R, Pangsapuri Idaman sejak 2012 berkata, dia tidak mengenali Ismanira dan Zayn Rayyan namun sering melihat mereka di kawasan berkenaan.
Sementara itu, ketika menyoal suri rumah, Rashidah Rajali, 37, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun berkata, terdapat keraguan dalam keterangan yang diberikan saksi pendakwaan ke-16 tersebut, pada 18 Februari lalu.
Pada prosiding lalu, Rashidah memberitahu telah terserempak dengan Ismanira yang memakai tudung hitam, berbaju putih dan seluar atau kain hitam pada jam 12.15 manakala 15 minit kemudian, ibu Zayn Rayyan terbabit mengenakan tudung bercorak warna gelap dengan baju yang berbeza.
Peguam: Adakah itu temuramah yang anda beri kepada pihak media?
Rashidah: Ya.
Peguam: Setuju jika saya cadangkan, keterangan yang anda beri di mahkamah dengan temuramah media, adalah jauh berbeza.
Rashidah: Tak setuju.
Peguam: Anda tidak pernah sesekali pun memberitahu media bahawa anda telah terserempak dengan ibu arwah Zayn pada hari itu, betul?
Rashidah: Ada.
Peguam: Ada atau tidak, rakaman kamera litar tertutup yang merakam wajah ibu Zayn Rayyan naik dan turun tangga Blok R?
Rashidah: Tak tahu.
Peguam: Anda sendiri tidak tahu ibu Zayn Rayyan audah berapa kali turun naik tangga mencari kanak-kanak ini, sehinggalah anda terserempak dengannya.
Rashidah: Betul.
Haresh kemudiannya mencadangkan saksi itu mempunyai masalah memori yang lemah kerana kenyataan yang diberikan di mahkamah dan semasa ditemubual media adalah berbeza namun dinafikan sendiri oleh saksi terbabit.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokan harinya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.