Bazar meriah pengunjung, tapi jualan tak laku - Peniaga

Iklan
Penempatan peniaga bazar di kawasan belakang yang bersebelahan jalan mati menyebabkan lokasi itu kurang dikunjungi pengunjung.

TAMPIN - Segelintir peniaga di Bazar Ramadan Gemas di sini mengeluh kerana jualan mereka tidak balik modal ekoran susunan petak bazar yang terlalu panjang, menyebabkan pelanggan tidak larat berjalan hingga ke gerai paling belakang.

Seorang peniaga, Hanis Mohd Hashim, 32, berkata, situasi itu berlarutan pada minggu kedua operasi, dan mereka berharap pihak berkuasa melakukan penyusunan semula bagi mengelakkan peniaga terus menanggung kerugian.

Iklan
Iklan

"Setiap kali anggota Majlis Daerah Tampin (MDT) datang, kami sudah menyuarakan aduan. Kami meminta supaya gerai kami dianjakkan ke hadapan sedikit atau petak bazar disusun dalam dua lorong, bukannya satu lorong seperti sekarang.

"Namun, setakat ini, belum ada sebarang tindakan diambil. Kami tidak pasti sampai bila perlu menanggung kerugian," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Peniaga ayam goreng itu menjelaskan bahawa MDT membuka permohonan tapak tanpa had tahun ini, menyebabkan jumlah peniaga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Boleh dikatakan jumlah peniaga meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lalu. Bagi yang tidak mendapat petak dalam cabutan undi, mereka ditawarkan tapak di bahagian belakang.

Iklan

"Saya antara yang tidak bertuah kerana nama tidak terpilih dalam cabutan undi, lalu ditawarkan tapak belakang selepas membuat rayuan. Mulanya kami sekeluarga keberatan untuk menerima, tetapi memikirkan ini satu-satunya sumber pendapatan, kami tetap meneruskan perniagaan," katanya.

Menurutnya, walaupun bazar tersebut meriah dengan kehadiran pengunjung, mereka yang berada di petak belakang tidak menikmati jualan yang baik kerana pelanggan enggan berjalan jauh hingga ke hujung.

"Situasinya berbeza berbanding tahun lalu. Jika dulu, saya boleh memperoleh keuntungan sekitar RM300 selepas ditolak kos modal dan gaji pekerja, tetapi sekarang, untuk mendapatkan pulangan modal pun sukar.

"Gaji pekerja juga terpaksa dibayar menggunakan wang sendiri. Walaupun pekerja adalah adik-beradik sendiri, mereka tetap perlu dibayar. Tahun ini, saya tidak mengambil pekerja luar kerana tidak mampu," katanya.

Peniaga rasa teraniaya

Seorang lagi peniaga, Aidawati Isahak, 47, berkata, situasi ini membuatkan mereka berasa teraniaya, terutama apabila jualan harian tidak mencecah RM300.

"Saya sudah berniaga sejak 2016, tetapi jualan tidak pernah seteruk ini. Ia tidak setimpal dengan kadar sewa tapak RM620 yang perlu dibayar.

"Orang cakap kalau jualan tidak habis, boleh sedekah, tetapi modalnya perlu dicari juga. Takkan setiap hari mahu tampung dengan modal lain pula?" katanya.

Beliau berkata, tujuan kebanyakan peniaga menyertai bazar Ramadan adalah untuk mencari pendapatan tambahan, dan sepatutnya jualan harian boleh mencecah lebih RM1,000 sehari.

"Peniaga lain boleh mencapai jualan RM1,000 sehari. Kami tidak meminta banyak, tetapi sekurang-kurangnya jualan perlu lebih daripada RM300.

Masih banyak jualan di gerai Aidawati tidak terjual pada jam 6.30 petang, Isnin.

"Sebab itu kami menyertai bazar, membawa barang dagangan dan mencari pekerja kerana misi kami adalah mencari pendapatan lebih. Tetapi apabila melihat hasilnya, saya rasa lebih baik berniaga di kedai sahaja," katanya.

Aidawati menegaskan bahawa peniaga masih bersabar dan tidak mahu bertindak melulu dengan memindahkan khemah ke tapak kosong kerana tidak mahu berdepan masalah dengan pihak berkuasa.

"Ada yang mencadangkan supaya kami mengalihkan khemah ke depan, tetapi kami mahu berniaga secara betul dan mengikut peraturan. Jika kami bertindak sendiri, yang menerima saman dan disenarai hitam nanti adalah kami.

"Jadi, saya berharap MDT dapat mendengar suara peniaga dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini. Kami semua telah membayar sewa tapak dan berharap bazar ini memberi pulangan yang setimpal," katanya.