Akauntan rugi hampir RM50,000 terpedaya sindiket pelaburan tidak wujud

Iklan
Mangsa mula menyedari ditipu selepas semua usaha mendapatkan semula wang tersebut gagal. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang akauntan wanita mengalami kerugian RM46,534 selepas terpedaya sindiket pelaburan saham palsu yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian bermula apabila mangsa berusia 32 tahun tertarik dengan iklan pelaburan saham dipaparkan di laman sosial Instagram.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang berminat menekan pautan dalam iklan tersebut dan diarahkan ke aplikasi WhatsApp melalui nombor diberikan.

"Mangsa kemudian diberikan peluang belajar mengenai pelaburan saham dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai PJT Academy,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Raub memaklumkan wanita itu kemudiannya diberi tunjuk ajar mengenai kaedah pelaburan saham sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Bagaimanapun, ujarnya, mangsa diminta menghubungi satu nombor untuk memulakan pelaburan.

Iklan

"Mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat peribadi serta akaun bank. Mangsa dijanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat menyebabkannya terus terlibat dalam pelaburan tersebut,” katanya.

"Sebanyak 14 transaksi dalam talian berjumlah RM46,534 dibuat ke lima akaun berbeza antara 13 Januari hingga 4 Mac lalu.

"Apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan RM620,000. Mangsa mula menyedari ditipu selepas semua usaha mendapatkan semula wang tersebut gagal,” ujarnya.

Menurut Raub, hasil semakan melalui Semak Mule CCID mendapati, lima akaun bank digunakan dalam transaksi itu mempunyai empat rekod penipuan lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda antara RM10,000 dan RM100,000, atau kedua-duanya sekali.

"Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud,” tambahnya.