MELAKA - Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi membekalkan perkhidmatan makanan dan minuman berjumlah RM6,640.
Hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan selepas tertuduh Norrul Huda Marsidin, 42, yang bertugas di Melaka mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai invois milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 November 2021 bagi perkhidmatan membekal makan dan minum bagi dua program di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka dengan jumlah RM6,640.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka, Wisma Persekutuan di sini, pada November 2021.
Norrul Huda didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan sebagai pengajaran dan faktor kepentingan awam.
Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda tanpa penjara dikenakan dengan alasan dia perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit anxiety disorder selain sedang menjalani rawatan di hospital.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM15,000 serta lima bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap pertuduhan.