JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan kerugian RM48,000, tahun lalu.
Tertuduh, S Shaminee, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Shaminee yang juga tertuduh kedua didakwa bersama seorang lagi individu iaitu pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor.
Bagaimanapun, pegawai polis berkenaan tidak hadir ke mahkamah kerana masih dalam tempoh cuti sakit.
Berdasarkan pertuduhan, Shaminee bersama tertuduh pertama didakwa menipu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun dengan memperdaya mereka bahawa dia seorang peguam yang boleh membantu menyelesaikan siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat terbabit.
Siasatan yang dikatakan sedang dibuat, masing-masing ke atas mangsa bagi kesalahan menggaji pembantu rumah warga asing tanpa permit sah dan ia termasuk siasatan ke atas ibu mentua mangsa bagi kesalahan menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah tanpa permit serta lesen sah itu sebenarnya tidak wujud.
Perbuatan tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM24,000 setiap seorang secara dalam talian dan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 17 Mac 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun dibantah peguam tertuduh, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Mohd Shahrullah memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya mengalami masalah kewangan selepas perniagaan kafe yang diusahakan bersama suami terpaksa ditutup.
"Tertuduh mempunyai dua anak berusia tiga dan 14 tahun serta baru bekerja sebagai ejen hartanah.
"Tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri kerana sejak ditahan pada Julai 2024, dia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan melapor diri setiap bulan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes.
Pertuduhan terhadap tertuduh pertama turut akan dibacakan pada tarikh sama.