KUALA LUMPUR - Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Veteran MyWIRA memperkukuh laluan transisi kerjaya kedua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan untuk beralih ke sektor swasta.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerjasama antara Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dapat membantu veteran ATM memperoleh pilihan kerjaya yang berkualiti tinggi.
Abdul Rahman berkongsi, Program Veteran MyWIRA turut membuka peluang yang lebih luas dalam menyelaraskan kemahiran veteran dengan keperluan pasaran dan menghubungkan mereka dengan bakal majikan.
"Kebanyakan veteran ATM masih dalam lingkungan 40 tahun ke bawah kerana menyertai perkhidmatan seawal usia 18 tahun dan bersara selepas 10 tahun, menjadikan mereka berusia sekitar 28 hingga 30 tahun ketika meninggalkan perkhidmatan.
"Sudah tentu mereka sangat memerlukan peluang kedua. Oleh itu, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bertujuan memperkukuh perbincangan secara lebih terperinci, tersusun dan menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus dan Bengkel Strategik Veteran MyWIRA di Hotel Hilton, pada Isnin.
Perasmian majlis juga disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.
Sesi berkenaan telah mengumpulkan lebih 150 pemegang taruh termasuk agensi kerajaan dan pemain industri untuk membangunkan program kesinambungan kerjaya yang lebih tersusun.
Program MyWIRA diperkenalkan sejak Januari 2024 dan telah membantu 49 veteran ATM mendapatkan pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,900 serta membuka 500 peluang pekerjaan dalam sektor Elektronik & Elektrik (E&E), Logistik, serta Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berharap agar lebih banyak inisiatif diperkenalkan supaya veteran ATM dapat menjadi tenaga profesional dengan pendapatan tidak kurang daripada RM4,000 sebulan.
"Saya dimaklumkan bahawa sekitar 6,000 anggota ATM bersara setiap tahun dan ini memberi implikasi besar kepada pasaran tenaga kerja. Oleh itu, pada tahun 2025, kita mahu memperkasa peranan Perhebat agar lebih ramai terlibat dalam bidang berkemahiran tinggi.
"Kita juga sedar bahawa negara sedang bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI). Justeru, golongan veteran ini perlu diberi peluang untuk menceburi sektor lebih maju dan berdaya saing,” kata beliau.
Sementara itu, Adly yakin usaha tersebut dapat memperkukuh laluan kerjaya kedua veteran ATM kerana cabaran yang mereka hadapi sangat besar.
"Masyarakat sering membayangkan veteran ATM sebagai warga emas sedangkan sistem perkhidmatan tentera negara membenarkan anggota memilih untuk berkhidmat dalam tempoh 12, 15, 18 atau 21 tahun sebelum bersara.
"Pada usia 40 tahun, mereka kehilangan pekerjaan dan sekiranya berpencen, golongan itu hanya menerima separuh daripada pendapatan asal. Dalam aspek sosial, kebanyakan anak-anak mereka berada di peringkat sekolah menengah atau pengajian tinggi yang memerlukan banyak perbelanjaan kewangan,” jelasnya.