KUANTAN - Operasi pemadaman kebakaran ladang kelapa dan hutan di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular, belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Gebeng, di sini sejak 22 Februari lalu ditamatkan sepenuhnya pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, keseluruhan 176 hektar kawasan yang terjejas akibat kebakaran telah dipadamkan dengan efektif.
Bagaimanapun, katanya, pemantauan rapi akan terus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng selama tiga hari bagi memastikan tiada kesan bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
"Pihak bomba merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, termasuk pihak media atas liputan menyeluruh sepanjang operasi itu.
"Laporan yang disampaikan bukan sahaja membantu menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat, malah turut meredakan kebimbangan berkenaan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU), yang pernah mencecah paras meruncing," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Mohd Razam berkata, liputan itu juga memberi gambaran positif kepada masyarakat tentang kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani situasi ini bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat sentiasa terpelihara.
"Penghargaan turut diberikan kepada agensi-agensi sahabat iaitu Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Bantuan Kecemasan Gebeng (GEMA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan semua pihak yang telah bersama-sama dalam melaksanakan operasi itu," ujarnya.
Menurutnya, kerjasama baik yang terjalin antara agensi di negeri ini mencerminkan tahap kecaknaan kerajaan terhadap kelestarian hidup rakyat.
Kebakaran ladang kelapa yang bermula pada 22 Februari lalu merebak, melibatkan kawasan seluas 176 hektar terdiri daripada kawasan ladang kelapa dan hutan berhampiran.
Ekoran kebakaran tersebut, IPU di kawasan Balok Baru di sini merekodkan bacaan dalam kategori sangat tidak sihat, iaitu 250 pada 3 Mac lalu.
Pencemaran udara yang berlaku akibat kebakaran itu mendapat perhatian dan menimbulkan kebimbangan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Khamis lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sendiri turun padang meninjau lokasi itu.