PONTIAN - Tiga peniaga di bazar Ramadan sekitar daerah ini dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas didapati melanggar syarat pelesenan dengan menjual mercun dan bunga api.
Jabatan Pelesenan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilakukan di tiga lokasi iaitu Bazar Ramadan Ayer Baloi, Bazar Ramadan Benut dan Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian, pada Isnin.
"Hasil pemeriksaan di Bazar Ramadan Ayer Baloi mendapati semua peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan.
"Namun, di Bazar Ramadan Benut, seorang peniaga dikesan menjual mercun dan bunga api, manakala dua lagi peniaga di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian turut melakukan kesalahan sama,” katanya dalam muat naik di Facebook pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, tindakan sitaan ke atas barang perniagaan telah dilakukan serta-merta terhadap peniaga yang melanggar syarat.
MPPn turut mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan serta menjaga kualiti dan keselamatan makanan demi kesejahteraan orang ramai.
"Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan peniaga serta kelancaran operasi bazar Ramadan,” katanya.