Tambah baik RUU Perkhidmatan Parlimen, wujudkan larangan nepotisme - Bersih

Iklan
Muhammad Faisal

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan supaya pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen ditambah baik dalam tempoh transisi dua tahun.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia termasuk mewujudkan peruntukan mewajibkan etika kakitangan perkhidmatan Parlimen bersifat tidak berpihak dan larangan terhadap nepotisme di dalam akta tersebut.

Iklan
Iklan

"Hal ini memerlukan semua ahli perkhidmatan Parlimen perlu bertindak secara tidak berpihak, tidak tertakluk kepada tekanan dan campur tangan badan Eksekutif.

"Selain itu, memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pelantikan ahli-ahli perkhidmatan Parlimen adalah berdasarkan merit dan bukannya pertimbangan yang lain.

Iklan

"Prinsip keadilan juga harus tercermin di dalam Akta Perkhidmatan Parlimen dengan membuang kawalan Ketua Pentadbir ke atas ahli-ahli perkhidmatan Parlimen,” katanya dalam hantaran di X pada Isnin.

Sebelum ini Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Iklan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin menyuarakan kebimbangan Parlimen akan dikuasai kumpulan tertentu termasuk penyokong kerajaan sekiranya Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan.

Ujar bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, apabila ada 'orang luar' diambil berkhidmat di institusi tersebut, dikhuatiri akan wujud elemen pilih kasih dalam pengambilan pekerja.

Menurut Muhammad Faisal, untuk rekod akta tersebut bukan perkara baru tapi telah wujud sejak 1963 ketika negara ditubuhkan.

Jelas beliau, tujuannya adalah untuk menjelaskan garis pemisah antara tiga cabang iaitu Eksekutif, Legislatif (Parlimen) dan Kehakiman.

"Ia supaya dapat menghindarkan pemusatan kuasa serta membuka ruang untuk semak dan imbang.

"Malangnya pada tahun 1992, kerajaan waktu itu telah mansuhkan akta itu yang menyebabkan garis pemisah yang dinyatakan menjadi kabur.

"Hari ini apabila wujud inisiatif untuk kembalikan akta tersebut untuk memberi autonomi kepada Parlimen dan menjelaskan garis pemisah tersebut, maka ia adalah satu inisiatif yang baik walaupun semangat akta tersebut belum mencapai tahap yang ideal,” ujarnya.