Peniaga rugi lebih RM300,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Iklan
Mangsa tertarik dengan skim pelaburan itu melalui sebuah laman sesawang yang diiklankan di Facebook. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM300,378 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Mangsa lelaki warga emas berusia 63 tahun itu mendakwa pulangan sebanyak RM20,698 yang diterimanya sebelum itu telah mendorongnya menambah wang pelaburan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa mengesyaki dirinya ditipu apabila tidak menerima pulangan seterusnya seperti dijanjikan selain gagal mendapat kembali wang yang dilaburkan.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan skim pelaburan itu melalui sebuah laman sesawang yang diiklankan di Facebook.

Iklan

Susulan itu katanya, mangsa telah mendaftar akaun pengguna selepas melayari laman sesawang tersebut pada November tahun lalu.

"Dia juga mengakui telah membuat 10 transaksi bayaran wang pelaburan melalui sembilan akaun bank berbeza dalam tempoh antara 25 November 2024 hingga 5 Februari lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Yahaya berkata, mangsa mendakwa telah menerima pulangan pertama sebanyak RM20,698 pada 1 Januari lalu.

Jelasnya, perkara tersebut menyebabkan mangsa yakin dengan pelaburan disertainya itu.

"Mangsa terus menambah pelaburan dan melihat wang keuntungan dipaparkan pada akaun pengguna pelaburan juga bertambah.

"Mangsa berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan itu namun dia perlu menambahkan pelaburan sekiranya ingin berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di sebuah balai di sini selepas mengesyaki dirinya ditipu.

Justeru, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Sebaliknya jika menerima panggilan yang meragukan, segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my.