GEORGE TOWN - Perkhidmatan bas Rapid Penang On-Demand akan diperluaskan dengan penambahan tiga laluan baharu serta dua van tambahan bagi laluan sedia ada mulai 15 Mac ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), Ku Jamil Zakaria berkata, langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap pengangkutan awam di kawasan berpenduduk padat dan lokasi yang masih belum mempunyai akses kepada perkhidmatan bas.
Menurutnya, tiga laluan baharu yang diperkenalkan ialah T110B (Gurney dan Tanjung Bungah) dengan enam van, T710B (Sunway dan Butterworth) juga dengan enam van serta T211B (Paya Terubong) dengan satu van.
"Rapid Bus turut merancang menambah 50 van secara berperingkat sepanjang tahun ini.
"Langkah ini bertujuan menggalakkan lebih ramai orang awam menggunakan pengangkutan awam yang lebih fleksibel dan efisien,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau lagi, laluan sedia ada T210B (Farlim dan Air Itam) yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu akan ditambah baik dengan tambahan dua van, menjadikan jumlah keseluruhan empat van.
"Penambahbaikan ini dijangka mengurangkan waktu menunggu penumpang dari 17 minit kepada hanya 10 minit susulan permintaan tinggi terhadap laluan tersebut.
"Setakat ini, purata jumlah penumpang harian bagi laluan T210B ialah 137 orang, melebihi sasaran awal 100 penumpang sehari. Sejak beroperasi tujuh bulan lalu, laluan itu telah mencatat lebih 26,000 penumpang," jelasnya.
Beliau menambah, Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari daripada jam 6 pagi hingga 11 malam dan boleh ditempah melalui aplikasi Kummute dengan tambang promosi RM1 bagi setiap perjalanan.
"Selain itu, sistem pembayaran tanpa tunai akan diperkenalkan mulai 13 Mac bagi laluan sedia ada dan 15 Mac bagi laluan baharu. Mod pembayaran yang diterima termasuk Pas Mutiara My50, Pas OKU Smile, kad debit atau kredit, DuitNow QR dan e-dompet.
"Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my," tambahnya.